Perdana Menteri, DS Mohd Najib Tun Razak berkata, agenda pengangkutan darat negara bukan hanya tentang projek infrastruktur mega, apa yang lebih penting adalah laluan ke arah peningkatan produktiviti dan keadaan hidup yang lebih baik bagi Rakyat Malaysia.
Perdana Menteri menegaskan dalam jangka panjang, sebuah rangkaian pengangkutan awam darat yang boleh dipercayai, bersepadu dan moden akan memacu pertumbuhan sosio ekonomi serta mempertingkatkan kualiti alam sekitar, kesemuanya amat penting bagi kelestarian pembangunan Malaysia.
Memberi contoh kejayaan MRT Laluan 1 Sungai Buloh-Kajang, bermula daripada konsepsi sehingga kepada penyampaian, adalah suatu keutamaan kepada DS Najib, dan merupakan projek yang beliau sendiri selia setiap peringkat kemajuannya.
DS Najib berkata Rakyat dapat melihat bagaimana pengangkutan awam darat boleh menjadi pencetus perubahan sebenar dalam mengubah gaya hidup Rakyat Malaysia dengan mengurangkan kesesakan lalu lintas dan memberi laluan kepada mobiliti hijau serta pengurangan pelepasan karbon di Greater Kuala Lumpur.
Perdana Menteri menambah menjelang 2027, apabila Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), projek Keretapi Kuala Lumpur - Singapura Berkelajuan Tinggi (HSR), Sistem Aliran Deras Johor Bahru-Woodlands (Utara) dan laluan landasan bandar lain disiapkan, perbatuan landasan di seluruh negara akan menghampiri jarak 3,000 km, iaitu 65 peratus melebihi rangkaian landasan sekarang, yang merupakan penambahan infrastruktur yang sangat besar
Beliau juga berkata, dalam tempoh beberapa dekad akan datang, sektor pengangkutan awam akan mewujudkan sehingga 100,000 peluang pekerjaan sebagai teknikal dan jurutera berkemahiran tinggi. Ia merangkumi HSR, ECRL, Rapid Transit System Link dan MRT Lembah Klang (KVMRT).
DS Najib turut berkata, kesemua projek pengangkutan awam darat yang dijayakan menerusi Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) menjana pulangan ekonomi kepada negara dan menguntungkan rakyat.
Dalam konteks yang lebih luas kata beliau, agenda memajukan pengangkutan awam darat bukan sekadar projek infrastruktur mega yang menjana keuntungan ekonomi kepada negara, bahkan ia haluan ke arah meningkatkan produktiviti dan mencipta kehidupan lebih baik untuk Rakyat.