Berita baik buat Ib Bapa dan pelajar daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Pelajar sekolah yang menaiki bas-bas sekolah yang berdaftar dengan SPAD akan terus dilindungi di bawah Skim Insurans Murid Sekolah yang telah dilanjutkan untuk tahun 2016.
Di dalam Bajet 2013, Perdana Menteri, DS Najib Tun Abdul Razak telah mengumumkan Skim Perlindungan Insurans Kemalangan Diri, hilang upaya kekal dan kematian kepada semua murid sekolah yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah yang berlesen dengan SPAD bagi Semenanjung Malaysia dan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) untuk Sabah & Sarawak.
Perlindungan maksimum sebanyak RM100,000 dengan kos premium sebanyak RM40 juta yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan untuk tempoh dua (2) tahun. Skim ini akan dikendali dan diuruskan oleh Syarikat Takaful Malaysia Berhad. Takaful Malaysia telah dilantik melalui proses tender terbuka dimana semua syarikat insurans yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan dibenarkan mengambil bahagian.
Skim Insurans Pelajar Sekolah SPAD memberi manfaat kepada pelajar-pelajar yang menaiki bas sekolah seperti:
Kematian akibat kemalangan - RM100,000
Hilang keupayaan kekal - Sehingga RM100,000
Bayaran perubatan - RM3,000 maksimum (mengikut bil perubatan)
Manfaat hospital - RM100/sehari sehingga maksimum 30 hari
Khairat kematian - RM2,500
SPAD di dalam sidang medianya pada 19/12/2014 telah mengumumkan akan melanjutkan perlindungan Skim Insurans Murid Sekolah untuk terus dinikmati buat tahun 2015. Hari ini pula SPAD telah memberikan khabar gembira untuk melanjutkan skim insuran berkenaan utuk tahun yang ketiga bagi 2016, Terima kasih SPAD dan Kerajaan.