Parti Komponen Barisan Nasional (BN) MCA hari ini menyatakan sokongan secara terbuka terhadap pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan menghargai usaha PDRM di dalam perjuangan menentang penyebaran ideologi militan di Malaysia terutama golongan Islamic State of Iraq and Syria (ISIS). Perkara berkenaan dinyatakan di dalam satu seminar yang dijalankan di Wisma MCA hari ini.
Seminar Keselamatan Negara & Ancaman Militan IS telah dirasmikan oleh Presiden MCA, DS Liow Tiong Lai. MCA sebagai salah satu parti komponen BN tidak memandang ringan terhadap ancaman militan ISIS memandangkan ia boleh menggugat keselamatan negara. Dalam ucapan perasmian DS Liow berkata, jika 1% sahaja dari militan IS yang dianggarkan oleh pihak PDRM berjumlah 50,000 memilih untuk bertindak dengan menzahirkan perjuangan secara fizikal di Malaysia, pasti sekali negara akan berada didalam keadaan kucar kacir dan huru hara.
Menurut DS Liow, Malaysia menghadapi peningkatan dari segi ancaman pelampau dan ini harus dikekang kerana boleh merosakkan keamanan dan kesejahteraan Rakyat. Beliau menambah apabila negara kucar kacir, maka perniagaan apa pun akan terjejas. Apabila perniagaan terjejas, periuk nasi Rakyat yang berniaga harian akan menjadi mangsa yang pertama terganggu.
DS Liow berkata, bukan sahaja Malaysia menerima ancaman pelampau ini namun negara seperti Perancis, Filipina dan beberapa negara lain turut menerima padahnya. Pendirian rasmi MCA menurut DS Liow adalah berkaitan militan ISIS tiada kaitan dengan Agama atau Bangsa. DS Liow juga berkata MCA amat berpuas hati dengan kerja kuat yang dilakukan oleh PDRM dalam mengekalkan keamanan negara dari ancaman pengganas.