Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yakin sasaran 40 peratus penguasaan modal menjelang 2030 dalam penggunaan pengangkutan awam boleh dicapai. Menurut Pengerusi SPAD, TS Syed Hamid Albar, dengan bilangan penumpang bagi pengangkutan rel awam (KTM Komuter, LRT, Monorel dan ERL) telah meningkat dengan ketara, penguasaan modal sebanyak 25 peratus akan dapat dicapai menjelang akhir tahun ini.
Menurut TS Syed Hamid, penumpang dalam pengangkutan rel telah meningkat secara mendadak dan Prasarana Malaysia Bhd sedang berusaha bagi memastikan integrasi untuk menghasilkan sistem pengangkutan awam yang cekap di negara ini. SPAD katanya sedang bergerak di landasan yang betul untuk mencapai sasaran penguasaan modal sebanyak 40 peratus dalam tahun 2030.
Katanya, transformasi pengangkutan awam di Malaysia masih belum matang memandangkan SPAD sendiri baharu sahaja ditubuhkan dalam 2010, sambil menambah penguasaan modal dalam pengangkutan awam di kawasan bandar telah meningkat kepada 20.8 peratus pada 2013 daripada 19.6 peratus dalam tahun sebelumnya.
TS Syed Hamid menambah, golongan belia sekarang lebih suka menggunakan pengangkutan awam, jadi sekiranya ianya cekap dan berpatutan, ia akan menjadi mod pilihan mereka. Sasaran 40 peratus telah diletakkan di bawah Deraf Induk Akta Pengangkutan Awam Darat Negara yang diluluskan pada Oktober 2013, dan setakat ini segala kerja menepati deraf tersebut.
Rancangan induk ini mempunyai wawasan mengenai sistem pengangkutan darat awam yang selamat, boleh dipercayai, cekap, responsif, mudah diakses, terancang, bersepadu, mampu dimiliki dan mampan untuk meningkatkan pembangunan sosio-ekonomi serta kualiti hidup. Hari ini orang ramai adalah lebih berdisiplin, mereka tidak lagi tergesa-gesa, tetapi tahu bagaimana untuk beratur dan stesen-stesen agak bersih.
Oleh itu TS Syed Hamid berkata sebaik sahaja SPAD memperkenalkan sistem tiket yang bersepadu, ia akan menjadi lebih cekap dan kami menyasarkan perjalanan yang lancar dalam tempoh dua hingga tiga tahun. Beliau turut menambah, MRT1 akan beroperasi menjelang 2017.