January 10, 2018

0 Pemandu Teksi Harus Berhijrah Mengikut Peredaran Zaman Jika Tidak Mahu Ketinggalan


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, DS Nancy Shukri menyarankan pemandu teksi untuk berhijrah kepada tempahan menggunakan aplikasi e-hailing untuk mengikut perederan zaman agar tidak ketinggalan.

Sejak pelaksanaan sistem pengangkutan awam dalam talian melalui aplikasi mudah alih atau e-hailing seperti Uber dan GrabCar, perkhidmatan pengangkutan awam itu sudah mula mendapat sambutan ramai sehinggakan memberi kesan penurunan mendadak kepada jumlah penumpang pemandu teksi.



DS Nancy Shukri mengulas tindakan mogok yang dilakukan oleh ratusan pemandu-pemandu teksi di bandaraya Kuching dua hari lepas, yang tidak puas hati khidmat mereka kini diambil alih oleh khidmat e-hailing Grab dan Uber. 

Mereka malah sanggup tidak beroperasi sekitar lima jam, sebagai tanda protes dan mogok, dan berhimpun di pekarangan Dewan Undangan Negeri Lama. Petisen ini ditandatangani oleh 237 pemandu teksi, yang terdiri daripada pelbagai generasi.

Sementara itu, DS Nancy Shukri berkata, pihaknya bersama-sama dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan Sarawak telah secara konsisten dan berterusan berinteraksi dengan komuniti teksi berhubung isu ini.

Orang ramai lebih gemar menggunakan perkhidmatan e-hailing kerana pelbagai faktor antaranya kadar tambang dan keselesaan. Terdapat segelintir pemandu teksi yang tidak menggunakan meter dan melalui jalan yang jauh untuk mengenakan caj yang tinggi kepada pengguna.

DS Nancy berkata, generasi sekarang mengikut peredaran zaman dan sudah mula kurang menggunakan perkhidmatan teksi kerana mereka lebih suka mendapatkan perkhidmatan pengangkutan awam menerusi aplikasi e-hailing terbabit. 

Menurutnya, perjumpaan secara konsisten  turut bertujuan mengajak kumpulan pemandu teksi konvensional ini menyertai perkhidmatan e-hailing agar mereka tidak ketinggalan dan dapat memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan menggunakan trend masa kini seiring dengan permintaan pasaran.

DS Nancy mendedahkan sudah terdapat 600 pemandu teksi yang telah menyertai Uber dan 2,200 menyertai GrabCar berbanding lebih 45,000 masih meneruskan perkhidmatan sebagai pemandu teksi. Selain itu, aplikasi e-hailing ini juga memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menjana pendapatan tambahan, terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah. 

0 comments:

 

Cucu Tok Selampit Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates