June 17, 2017

0 SPAD Akan Tingkatkan Aktiviti Penguatkuasaan Pada Musim Perayaan


Sebagai langkah proaktif, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah mula menjalankan aktiviti penguatkuasaan secara intensif bermula daripada 12 Jun sehingga 2 Julai 2017. Di antara aktiviti-aktiviti yang turut dilaksanakan dengan kerjasama Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan penguatkuasa lebuhraya bagi menangani isu pengendali dan pemandu yang melanggar undang-undang atau peraturan. 

Aktiviti-aktiviti penguatkuasaan ini adalah termasuk audit penguatkuasaan terhadap rekod GPS kenderaan, operasi penyamaran, rondaan di lokasi berisiko tinggi dan perangkap kelajuan serta pemantauan CCTV di Pusat Operasi Lebuhraya.

Berdasarkan kenyataan terbaharu Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Mohd Azharuddin Mat Sah, untuk musim perayaan Aidilfitri tahun ini, kira-kira 5,000 bas ekspres termasuk 93 bas tambahan dibenarkan beroperasi. Jelas Mohd Azharuddin, kesemua bas ekspres itu sudah melalui pemeriksaan terperinci sebelum dibenarkan beroperasi, termasuk rekod pemandu bas dengan kerjasama PDRM, JPJ dan JKJR.

Seramai 384 pegawai penguat kuasa SPAD turun padang menjalankan operasi itu termasuk pemeriksaan di kaunter-kaunter tiket dan dokumen di 40 terminal bas seluruh Semenanjung Malaysia.

SPAD juga telah mengeluarkan pekeliling untuk mengingatkan pengendali bas ekspres untuk utamakan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya melalui penekanan terhadap pematuhan Kod Amalan Industri SPAD (ICOP) serta peraturan keselamatan pada setiap masa.

SPAD seperti mana-mana musim perayaan sebelum ini sentiasa menitik bertkan soal keselamatan pengguna pengangkutan awam dan juga pengguna jalan raya yang lain. Sikap proaktif SPAD wajar dihargai dan kita sebagai pengguna jalan raya di musim perayaan ini marilah bersama-sama memastikan tahap keselamatn berada pada tahap yang terbaik untuk kebaikan bersama.

0 comments:

 

Cucu Tok Selampit Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates