June 24, 2017

1 Menteri Yakin SPAD Amal Tadbir Urus Tahap Tinggi


Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan sentiasa mengamalkan tahap tadbir urus tertinggi melalui komitmen Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Azharuddin Mat Sah dan pasukan pengurusan SPAD, begitulah keyakinan yang diutarakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, DS Nancy Shukri.

DS Nancy merupakan Menteri yang bertanggungjawab mengendalikan urusan SPAD. Beliau mengulas demikian berikutan beberapa portal berita melaporkan pelantikan TS Mohd Isa Abdul Samad sebagai Pemangku Pengerusi SPAD yang diumumkan pada 19 Jun lepas mendapat kritikan susulan kemelut Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) semasa Isa menyandang jawatan Pengerusi FGV.

Dua persatuan teksi semalam menggesa kerajaan supaya melantik individu lain bagi menerajui SPAD, demi kebaikan industri itu sendiri. Presiden Persatuan Pengusaha Teksi Wilayah Persekutuan dan Selangor, Datuk Aslah Abdullah berkata, persatuannya berpendapat TS Isa bukan individu yang tepat untuk menerajui SPAD, berdasarkan insiden yang melanda FGV baru-baru ini.

DS Nancy berkata, SPAD merupakan badan berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat 2010 yang jelas menggariskan bidang kuasanya. Menurutnya sebagai sebuah suruhanjaya, Kerajaan telah pun memastikan terdapat sistem semak dan imbang dalam pelaksanaan semua aktiviti dan operasi SPAD.

Beliau berkata, Pemangku Pengerusi Suruhanjaya itu, TS Isa dalam kapasiti Pengerusi Bukan Eksekutif, memainkan peranan mempengerusikan mesyuarat anggota suruhanjaya bagi memastikan hala tuju strategik seperti mana yang terkandung dalam Rancangan Induk Pengangkutan Awam Darat Negara.

Segala aspek pentadbiran dan pengurusan suruhanjaya, termasuk operasi, perancangan, pelesenan serta penguatkuasaan adalah di bawah pentadbiran Ketua Pegawai Eksekutif dan barisan pengurusan SPAD, tambah DS Nancy.

DS Nancy percaya momentum dan semangat bekerja sebagai satu pasukan dalam budaya kerja SPAD akan terus diperhebatkan lagi bagi memastikan transformasi pengangkutan awam darat dapat dilaksanakan demi kepentingan rakyat.

Malah kata beliau lagi, jawatankuasa audit suruhanjaya serta bahagian undang-undang akan memastikan pihak pengurusan sentiasa mematuhi dan mengikuti tadbiran dan keperluan perundangan terkini ketika menjalankan tugas mereka.

DS Nancy menambah, sejajar dengan peranan SPAD sebagai sebuah badan perancang yang profesional dan proaktif serta pengawal selia industri, SPAD mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang teratur dan terperinci.

Beliau berkata, kerajaan juga telah menetapkan garis panduan serta mekanisme kawalan bagi pelaksanaan projek-projek infrastruktur untuk membangunkan pengangkutan awam darat dengan telus, amanah dan berintegriti.

1 comments:

Anonymous said...

Isa...awal tidak lagi di alu alukan dalam mana mana GLC dan agensi agensi di bawah pentadbiran kerajaan...walau pun Najib yg lantik...
sedar la diri...awak tu pi mana pun mesti mendatangkan masalah...
pencen je la....

 

Cucu Tok Selampit Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates