June 16, 2017

0 Butang SOS Perlu Ada Dalam Kenderaan Uber Dan Grab


Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Mohd. Azharuddin Mat Sah berkata, semua syarikat perkhidmatan perkongsian kenderaan seperti Uber dan Grab diarahkan untuk melengkapi aplikasi mereka dengan butang SOS secepat mungkin bagi memastikan keselamatan penumpang terjamin. Tambah beliau, butang SOS yang akan dihubungkan terus ke Polis Diraja Malaysia (PDRM) tersebut dibuat bagi membolehkan penumpang untuk memberi amaran polis jika keselamatan mereka terancam.

Sistem SOS wajar dikuat kuasa di Malaysia memandangkan sistem tersebut sudah digunapakai oleh perkhidmatan Uber di India dan pengenalan butang tersebut di negara ini adalah baik ekoran beberapa kes yang melibatkan pemandu Uber baru-baru ini. Ia berikutan banyak kejadian tidak diingini berlaku terhadap penumpang dan juga pemandu baru-baru ini. Dalam masa sebulan kebelakangan ini sahaja, 3 kes jenayah berkaitan Uber dilaporkan.

Dalam kejadian pertama, seorang wanita tidak perasan terdapat penumpang lain di kerusi hadapan kenderaan Uber yang ditempahnya. Beliau kemudian diacukan pisau dan dirompak berhampiran pusat perniagaan One Puchong.

Kejadian kedua pula berlaku di Cheras, di mana pemandu Uber menurunkan dua orang penumpang bukan di tempat yang dipinta. Sejurus kemudian, datang dua orang penunggang motorsikal menyamun kedua-dua lelaki tersebut.

Dalam kejadian terbaru, seorang pemandu Uber di Pulau Pinang dibelasah sekumpulan lelaki yang mendakwa beliau mencabul seorang wanita warga Vietnam. Ia berlaku ketika wanita tersebut menaiki kereta Uber yang dipandu mangsa. Mangsa dikatakan mengeluarkan kemaluannya dan mengarahkan wanita tersebut memegangnya.

Selain daripada butang SOS yang perlu diwujudkan, kita juga menyambut baik cadangan pihak SPAD yang mengkehendaki pengusaha khidmat tempahan pengangkutan seperti Uber dan Grab menghantar maklumat peribadi pemandunya pada bulan ini, selaras dengan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang sedang dalam proses pindaan, dan dijangka akan dibentang di Parlimen bulan depan.

Dengan ini SPAD dapat menggunakan pengkalan data pemandu yang ada padanya, dan menyemak dengan pelbagai agensi penguatkuasa undang-undang. Ini secara langsung membolehkan pihak SPAD untuk menyita kenderaan yang disalahguna, menghalang mana-mana pesalah dari memandu dan syarikat penyedia khidmat tempahan pengangkutan juga akan dikenakan denda jika gagal menepati standard prestasi yang ditetapkan, terutama dalam aspek keselamatan.

0 comments:

 

Cucu Tok Selampit Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates