May 1, 2017

0 Politik Pembangkang Hanya Berasaskan Mengambil Peluang Politik Kebencian Dan Musuh Bersama - TS Annuar Musa

 "Formula itu bukan formula yang mampan untuk memberi pembelaan kepada rakyat dan kita telah melihatnya berlaku berkali-kali. Formula pembangkang adalah formula yang amat rapuh. Kalau tiada kestabilan ertinya mereka tidak boleh melaksanakannya. Mereka terus mencari-cari satu formula dalam hubungan dan politik mereka."
Ketua Penerangan UMNO Malaysia, TS Annuar Musa berkata demikian semasa diminta mengulas keputusan Muktamar Dewan Ulama Pas kelmarin, yang meluluskan tanpa bahas usul untuk memutuskan ”tahaluf siyasi” (kerjasama politik) dengan PKR. Katanya, tindakan PAS untuk menamatkan kerjasama dengan PKR membuktikan formula politik pembangkang yang berasaskan kepada mengambil peluang berdasarkan politik kebencian dan  'musuh bersama' sebagai suatu yang amat rapuh.

TS Annuar juga melihat keputusan itu akan membawa perubahan kepada landskap politik negara kerana PAS menjadi 'kuasa ketiga' selepas Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan kerana perlu bergerak sendirian selepas memutuskan hubungan dengan  sekutu mereka sebelum ini, iaitu DAP, Parti Amanah Negara dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

TS Annuar juga menyelar tindakan sesetengah pemimpin pembangkang mengkritik tindakan PAS itu kerana menyifatkan mereka seharusnya menghormati pendirian PAS memandangkan setiap parti politik berhak  membuat keputusan sendiri. Menurut beliau, PAS berhak menentukan keputusan itu dalam kongres mereka dan juga muktamar yang melibatkan pimpinan tertinggi mereka. PAS juga kata beliau seperti parti lain ada hak-hak sendiri dan ianya harus dihormati.

TS Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh, berkata demikian dalam program Ceramah Rakyat Parlimen Temerloh yang bertemakan ”Negaraku Generasiku” di Mentakab. Beliau menambah Barisan Nasional (BN) dan UMNO juga tidak seharusnya berasa selesa dengan perkembangan itu, sebaliknya perlu melipatgandakan usaha memberi penerangan kepada rakyat agar mereka tidak termakan dengan dakyah pembangkang menjelang pilihan raya umum ke-14.

0 comments:

 

Cucu Tok Selampit Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates