April 1, 2017

0 'Ulat Tiket' Keretapi Pula Didedah Pihak SPAD


Ketua Bahagian Penguatkuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Datuk Che Hasni Che Ahmad, mendedahkan wujud kegiatan 'ulat tiket' yang menjual tiket perkhidmatan kereta api dari Johor Bahru ke Singapura di JB Sentral di sini, sejak tahun lalu.

Dalam operasi bermula jam 4.30 pagi dua hari lepas, seramai lima individu berusia antara 26 hingga 72 tahun ditahan kerana menjual tiket kereta api ke laluan itu dengan harga sehingga RM12, berbanding harga asal RM5. Datuk Che Hasni berkata operasi seumpama itu adalah julung kali dilakukan pihaknya selepas menjalankan pemantauan dan risikan di JB Sentral selama 10 hari.

Katanya, sehingga hari ini, SPAD menerima 14 aduan berhubung kegiatan ulat tiket yang bergiat aktif di dalam bangunan JB Sentral, terutama pada waktu puncak iaitu sekitar jam 5 hingga 9 pagi setiap hari.

Pemantauan dilakukan anggota SPAD ini penting bagi melengkapkan diari siasatan untuk membuktikan benar berlakunya kegiatan ulat tiket ini dan hari ini, seramai lima individu berjaya ditahan. Mereka dipercayai sudah lama menjalankan kegiatan ini dengan mendapatkan tiket kereta api menerusi dua cara iaitu atas talian, iaitu maksimum pembelian enam tiket seorang dan terus dari kaunter (maksimum empat tiket seorang) sebelum menjualnya kepada pengguna.

Datuk Che Hasni berkata, semua yang ditahan akan didakwa dalam tempoh 24 jam mengikut Seksyen 205 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Seramai 25 anggota SPAD terbabit dalam operasi berkenaan dan pihak SPAD berjanji akan terus memantau selain meminta orang ramai terus membuat aduan kepada pihak SPAD jika menyedari wujudnya kegiatan berkenaan.

0 comments:

 

Cucu Tok Selampit Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates