April 2, 2017

0 Pemandu Teksi Diberi Dua Pilihan Di Bawah Pindaan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010


Pengerusi Suruhanjaya Pe­ngangkutan Awam Darat (SPAD), TS Dr Syed Hamid Albar berkata, pemandu teksi boleh mengenakan caj tambang kepada penumpang tanpa menggunakan sistem meter seperti Uber dan Grab sekiranya mereka memilih menggunakan e-hailing. Kaedah itu akan diguna pakai sekiranya pindaan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 diluluskan di Parlimen pada sesi ini.

Menurut TS Syed Hamid, pindaan tersebut memberi pilihan kepada pemandu teksi untuk kekal menggunakan sistem tambang bermeter yang mempunyai caj permulaan sekiranya mereka mengambil penum­pang di tepi jalan atau stesen teksi. Dalam masa sama, jika mereka menggunakan sistem e-hailing iaitu mengambil penumpang berdasarkan permintaan melalui aplikasi, maka tambang yang dikenakan sama seperti pemandu Uber dan Grab.

Langkah ini kata beliau membolehkan pemandu teksi memperoleh pendapatan yang lebih sekali gus mereka dapat bersaing dengan lebih adil. Ketika ini sistem meter meletakkan caj permulaan RM3 untuk teksi bajet, RM6 (teksi Premier) dan RM8 (teksi Eksekutif) dan ia akan meningkat mengikut jarak atau tempoh perjalanan.

TS Syed Hamid berkata, menerusi e-hailing pula, SPAD tidak akan mengawal tambang sebaliknya hanya bertanggungjawab dalam memastikan setiap pemandu memiliki kad pemandu, lesen memandu yang tidak tamat tempoh dan perlindungan insurans untuk penumpang. 

Beliau menambah, SPAD berharap pemandu teksi yang layak dan menerima lesen teksi individu dapat mengubah persepsi masyarakat dan cuba menyesuaikan diri dengan trend yang mendorong permintaan pasaran hari ini. Katanya, pemandu teksi juga dinasihatkan supaya tidak mengadakan demonstrasi jalanan sekiranya terdapat kekeliruan, sebaliknya sentiasa mengadakan pertemuan dan berbincang dengan SPAD.

0 comments:

 

Cucu Tok Selampit Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates