March 22, 2017

0 SPAD Teruskan Usaha Banteras Kegiatan Ulat Di KLIA Walaupun Tugas Mereka Sering Dipertikai


Saban hari kita sering mendengar pertindihan bidang kuasa di antara Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Kemeterian Pengangkutan. Namun, ini tidak mematahkan semangat penguatkuasa-penguatkuasa SPAD untuk menjalankan tugas mereka seperti mana tertakluk di bawah Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

Semalam, 21/03/2017, lebih kurang jam 10.00 pagi, 13 anggota Penguatkuasa SPAD telah terlibat bagi melaksanakan Ops Khas Parasit bertempat di sekitar Terminal KLIA 2, Sepang, Selangor. Operasi tertumpu kepada kepada aktiviti 'memujuk / mendesak / mengulat' bagi menawarkan perkhidmatan kereta sapu dan teksi terhadap orang awam / warga asing yang baru tiba ke KLIA2.

Hasil dari operasi yang dilaksanakan, SPAD telah menahan 2 orang lelaki warga tempatan berumur antara 40an bersama kereta jenis Toyota Innova dan teksi bajet disyaki memujuk dengan menawarkan perkhidmatan kereta sapu dan teksi terhadap orang awam di sekitar Balai Ketibaan, KLIA2. Harga tambang yang ditawarkan sekitar RM110 hingga RM120 bagi perjalanan ke Ibukota.

Bagi kes kesalahan pertama, Zuril Arif berumur 38 tahun telah menawarkan perkhidmatan kenderaan Toyota Innova dari KLIA2 ke Regalia Residence, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur kepada satu keluarga (2 dewasa dan 3 kanak-kanak) warga tempatan dengan kadar tambang RM110. Zuril pernah sekali ditangkap dan dijatuhkan hukuman 14 hari penjara dan denda RM5,000 di atas kesalahan yang sama pada 10/08/2016.

Bagi kes kesalahan kedua, Tan Tiang Boh berumur 43 tahun telah menawarkan perkhidmatan teksi dari KLIA2 ke Puchong kepada satu keluarga (2 dewasa dan 4 kanak-kanak) warga tempatan dengan kadar tambang RM120.

Kedua-dua pesalah tersebut telah ditahan di lokap Balai Sepang sebelum dibawa ke Mahkamah Sepang hari ini 22/03/2017 untuk proses pendakwaan. Dua buah kenderaan telah disita untuk tindakan selanjutnya di bawah Seksyen 16 dan 22, APAD 2010. Kes 'ulat' berkenaan disiasat di bawah Seksyen 205, APAD 2010, yang memperuntukan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua duanya, 

Untuk rekod, di bawah  Seksyen 16, APAD 2010, kesalahan menggunakan kenderaan tiada permit SPAD adalah denda tidak kurang dari RM1,000 dan tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua duanya dan Seksyen 22, iaitu denda tidak kurang dari RM1,000 tetapi tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua duanya seperti dibawah APAD 2010.

0 comments:

 

Cucu Tok Selampit Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates