March 22, 2017

0 Panas!!! Wawancara Khas TS Annuar Musa Isu EAC


"Kalau diteliti hansard parlimen perkara itu amat jelas. Tapi kemungkinan sebabnya terdahulu itu ada sebuah media bukan Bahasa Melayu menggunakan caption (keterangan gambar) mengatakan saya dipecat kerana sokong UEC. 

Eloklah saya jelaskan pertama:

1. Soal iktiraf atau tak iktiraf ada dua aspek berbeza. UEC telahpun diiktiraf sebagai sijil kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan Maktab Perguruan. Pengiktirafan itu ada dalam sekular bertulis kerajaan. 

2. UEC tidak diiktiraf secara spesifik sebagai sijil kelayakan untuk masuk ke Institut Pengajian Awam Swasta (IPTA) dan sebagai sijil untuk memohon jawatan dalam Perkhidmatan Awam.

Tetapi ramai yang tidak mendalami, mereka rangkum sekali antara iktiraf dan tak iktiraf."

TS Annuar Musa menjelaskan panjang lebar dalam sessi temubual beliau dengan wartawan dan media sosial di Parlimen berkaitan isu panas pengiktirafan sijil Unified Examination Certificate (UEC).

"Saya tidak menekankan soal iktiraf atau tidak diiktiraf. Itu kuasa Kerajaan. Saya mempertahankan apa yang kerajaan putuskan buat masa ini. Ertinya, dalam bentuknya sekarang, UEC belum boleh diiktiraf. Itu pendirian Kerajaan dan saya menyokong. Tetapi oleh kerana Dong Zhong sudah mengalami perubahan kepimpinan di bawah kepimpinan Datuk Temenggong Lau sekarang, saya dapat lihat ada keterbukaan dan kesediaan berunding."

"Maka saya kata dalam ucapan di Parlimen, kita harus reciprocate (respon), maka (perlu) berunding atas perkara-perkara terutama dalam soal Bahasa Melayu dan Sejarah dan terpulanglah kepada hasil rundingan itu nanti sama ada nak iktiraf atau tidak," kata TS Annuar dalam satu temubual di Parlimen. Menurut TS Annuar yang juga Ketua Penerangan UMNO, isu UEC ini tidak boleh dilihat secara perkauman.

"UEC bukan soal orang Cina. UEC adalah soal pendidikan dan soal kandungan yang perlu menepati Dasar Pelajaran Kebangsaan, perlu mematuhi Akta Pelajaran dan perlu menghormati Perlembagaan Persekutuan negara. Itu tidak ada kompromi. Itu wajib. Wajib kedudukan UEC dan kedudukan sekolah-sekolah persendirian Cina mestilah selari dengan perlembagaan, tidak bercanggah dengan akta, menghormati Dasar Pelajaran Kebangsaan."

Tambahnya ramai dikalangan individu dan badan bukan kerajaan (NGO) tidak memahami isu sebenar UEC melalui perbincangan di dalam blog dan media sosial. Mereka mendakwa UEC bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pelajaran.

"Kalau ada yang kata ia bercanggah, itu saya nak mendalami dan memahaminya, kalau ada orang yang nak duduk berbincang sebab fahaman saya, (jelas) ia tidak bercanggah dengan perlembagaan. Malah UEC wujud sebelum wujud perlembagaan, sebelum Merdeka. Dong Zhong wujud sejak 1954, sebelum kita Merdeka."

TS Annuar turut memberi maklumbalas terhadap dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa beliau melutut kepada Dong Zhong dalam hal UEC.

"Di hadapan jawatankuasa Dong Zhong yang ada 20-30 orang saya cakap direct – Dong Zhong mestilah menghormati dasar pelajaran kebangsaan. Dalam negara ini tak ada tempat untuk berfikiran cauvinis. Orang tembak jauh. Saya tembak depan-depan. Itu bezanya."

"Saya minta nak bertemu (Dong Zhong) atas kapasiti peribadi tetapi kerana ada jawatan dalam parti, saya minta kebenaran dengan Presiden. Saya hantar nota ringkas kepada Datuk Seri Mohd Najib Razak minta izin. Dia benarkan. Cuma dia sebut tidak perlu buat apa-apa kenyataan kerana kerajaan belum memutuskan apa-apa."

Mengenai isu kontroversi kenyataan beliau dipecat disebabkan menyokong UEC, TS Annuar berkata,

"Tak ramai yang menghubungi untuk tanya maklumat sebenar. Macam suratkhabar Cina yang saya kata tadi. Bila saya panggil wartawan yang interviu saya dia mengaku caption dibuat oleh editornya dan juga perenggan pertama juga bukan dia punya. Bila saya baca yang bawah memang betul macam yang saya kata. Tapi caption - saya dipecat kerana sokong UEC. Mana pulak saya dipecat? Saya cuma direhatkan kerana isu tajaan bola Kelantan."

0 comments:

 

Cucu Tok Selampit Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates