March 22, 2017

0 Langkah Malaysia Tawarkan Diri Sebagai Calon IMO Satu Langkah Tepat


Malaysia akan menawarkan diri sebagai calon kepada Majlis Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) di bawah Kategori C untuk pemilihan pada Perhimpunan Agung IMO November ini. Kategori C merujuk kepada negara yang mempunyai kepentingan istimewa dalam pengangkutan maritim atau pelayaran.

Menteri Pengangkutan, DS Liow Tiong Lai berkata langkah itu diambil kerana Malaysia amat berminat serta berazam untuk terus memainkan peranan aktif bagi mencapai hasrat IMO untuk melihat wujudnya keadaan laut lebih selamat dan standard industri maritim yang lebih cemerlang. Menurut beliau, Malaysia berharap semua rakan negara serantau akan merestui dan memberi sokongan agar Malaysia terus menjadi anggota Majlis IMO.

DS Liow yang juga Presiden MCA berkata demikian ketika merasmikan sessi Forum Ketua Agensi Keselamatan Maritim Asia Pasifik (APHOMSA) di Langkawi. Untuk rekod, Malaysia menjadi anggota IMO sejak 1971 dan dipilih menjadi Anggota Majlis di bawah Kategori C sejak 2005. DS Liow berkata Malaysia mempunyai banyak perkhidmatan feri domestik yang menggunakan vesel bukan konvensional, tetapi malangnya, ia tidak dikawal selia IMO.

Oleh itu, DS Liow berkata penganjuran forum ini adalah tepat pada waktunya dan penting bagi Malaysia sebagai pengawal selia maritim untuk memberi fokus terhadap isu keselamatan, tanpa menumpulkan semangat daya saing dalam industri. Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia sedang membina Pusat Latihan Rantau ASEAN bagi Perkhidmatan Trafik Perkapalan (VTS) di Institut Pengangkutan Maritim (MATRAIN) di Pelabuhan Klang. 

Pusat latihan itu, yang dibiayai sepenuhnya oleh Tabung Integrasi Jepun-ASEAN, akan digunakan untuk melatih petugas VTS berdasarkan standard antarabangsa bagi menyumbang kepada keselamatan pelayaran di perairan ASEAN. “Pusat itu akan mengadakan program pertamanya pada Julai 2017, yang melibatkan 20 peserta dari negara anggota ASEAN dalam kursus latihan selama tiga bulan.

0 comments:

 

Cucu Tok Selampit Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates