March 10, 2017

0 Kerajaan Bertegas Melarang Aktiviti Berbasikal Berkumpulan Di Lebuhraya

Menteri Pengangkutan DS Liow Tiong Lai berkata, aktiviti berbasikal berkumpulan tidak dibenarkan di lebuh raya, terutama tiga lorong dua kembar. Larangan tersebut dikenakan bagi mengelakkan apa-apa kemalangan di jalan raya yang melibatkan kumpulan penunggang basikal kerana terdapat perbezaan ketara dalam kelajuan antara basikal dan kenderaan lain.

Kementerian katanya sentiasa menggiatkan kempen keselamatan jalan raya bersama-sama dengan agensi-agensi lain termasuk Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan. Menurut DS Liow, Kementerian juga akan memastikan bahawa jalan-jalan yang digunakan untuk tujuan kenderaan bermotor adalah lebih selamat dengan tidak membenarkan basikal, termasuk yang diubah suai, berada di lebuh raya, kerana kenderaan lain bergerak dengan kelajuan tinggi di jalan tiga lorong, dan ini sekali gus meningkatkan risiko kemalangan.

Menteri Pengangkutan berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Normala Abdul Samad (BN-Pasir Gudang) mengenai langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian untuk mengurangkan risiko kemalangan yang melibatkan penunggang basikal berikutan kejadian tragis di Johor Bahru bulan lepas di mana lapan penunggang basikal remaja maut apabila dilanggar oleh sebuah kereta.

DS Liow berkata jika kumpulan penunggang basikal ingin menggunakan lebuh raya, mereka perlu terlebih dahulu mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan dan pihak polis untuk memantau konvoi untuk memastikan keselamatan mereka. Beliau juga berkata, penunggang basikal juga perlu memakai pakaian keselamatan semasa aktiviti berbasikal mereka manakala ibu bapa mereka juga berperanan dalam memastikan keselamatan anak-anak mereka.

Kepada soalan asal dari Normala mengenai tindakan terhadap pemandu yang terlibat dalam kemalangan baru-baru ini di mana lapan remaja terbunuh, DS Liow berkata polis masih menyiasat kes itu. Beliau menambah, apa-apa tindakan undang-undang diambil dalam kes ini oleh polis dan Jabatan Peguam Negara akan berdasarkan penyiasatan yang dijalankan.

0 comments:

 

Cucu Tok Selampit Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates