March 10, 2017

0 Jurang Pantai Timur Dan Pantai Barat Dapat Dikurangkan Dengan Pembinaan ECRL


Projek ECRL yang kini dalam peringkat pemeriksaan awam membabitkan cadangan laluan kereta api elektrik dari Wakaf Bharu, Kelantan ke Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) Gombak yang mempunyai 23 stesen di sepanjang landasan sejauh 600.3 kilometer dan dijangka dimulakan pembinaannya pada Julai ini.

Perdana Menteri, DS Najib Tun Razak berkata, projek ECRL penting untuk mengurangkan jurang pembangunan antara pantai timur dan pantai barat. Menurutnya, menerusi projek ini, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tiga negeri di pantai timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang dijangka bertambah 1.5 peratus.

Perjalanan dari Kelantan ke Kuala Lumpur dapat dipendekkan hanya dalam tempoh empat jam menerusi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), yang dijangka siap pada 2024. Selepas siap, kemudahan itu memudahkan perhubungan serta mobiliti kepada rakyat, sekali gus memacu kadar pertumbuhan ekonomi di negeri yang terbabit.

Sebagai mod pengangkutan mesra alam, ECRL dapat menggalakkan aktiviti perdagangan, meningkatkan sektor pelancongan serta pertumbuhan hab industri di sepanjang jajaran. Projek ECRL menyediakan perkhidmatan di semua pusat bandar utama di pantai timur, mempunyai 12 stesen penumpang, dua stesen kargo serta sembilan stesen penumpang dan kargo.

Landasan ECRL direka kalis banjir dengan ketinggian landasan atas paras selamat banjir dan satu terowong pengangkutan terpanjang sejauh 18 kilometer dibina menghubungkan Bentong, Pahang dan Gombak.

0 comments:

 

Cucu Tok Selampit Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates