February 17, 2017

0 SPAD Kenalpasti 20 Syarikat Bas Ekspres Yang Bermasalah


Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah mengenal pasti 20 syarikat bas ekspres bermasalah tahun ini. Ketua Jabatan Penguat Kuasa SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, pihaknya akan memanggil semua pengusaha dan pengurusan syarikat bas terbabit dalam masa terdekat untuk diberi amaran. 

Menurut Datuk Che Hasni, antara kesalahan yang direkodkan syarikat berkenaan ialah tidak menjelaskan pelbagai jenis saman serta gagal mendisiplinkan pemandu. Senarai rekod itu katanya diperoleh menerusi rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pada pertemuan yang dijadualkan minggu depan, pihak SPAD akan memanggil semua syarikat bas ekspres yang terbabit dengan pelbagai kesalahan seperti saman had laju dan juga sikap pemandu masing-masing. 

Beliau berkata demikian pada sidang media di Operasi Bersepadu di Plaza Tol Skudai Arah Selatan di sini, malam kelmarin. Operasi bersepadu bermula jam 2.00 petang itu turut dijalankan bersama pihak PLUS, JPJ, PDRM, Jabatan Imigresen, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Datuk Che Hasni berkata, dalam operasi berkenaan, sebanyak dua kes hasil daripada operasi penyamaran dikenakan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 masing-masing atas kesalahan memandu melebihi had laju dan menggunakan telefon bimbit.

0 comments:

 

Cucu Tok Selampit Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates