February 25, 2017

0 Projek Naik Taraf Landasan Berkembar (KVDT) Fasa 1 Mengikut Jadual


Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Mohd Azharuddin Mat Sah telah mengadakan lawatan kerja ke Projek Menaiktaraf Landasan Keretapi Lembah Klang (KVDT) Fasa 1 : Rawang - Kuang pada petang semalam. Turut hadir sama pengurusan SPAD. 

Projek KVDT merupakan projek menaik taraf yang akan dilaksanakan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). SPAD, selaku pengawal selia, perancang dan penguatkuasa bagi sistem pengangkutan awam darat di Malaysia, memainkan peranan yang amat penting bersama KTMB untuk mengenal pasti laluan yang terganggu, serta penjadualan kerja yang diperlukan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pengguna.

Kerja-kerja menaik taraf ini perlu dilaksanakan oleh KTMB sebagai langkah untuk memastikan kesemua perkhidmatan rel dapat bergerak dengan lancar dan tidak akan lagi berhadapan dengan kegagalan, kegelinciran mahupun kelewatan atau pembatalan perkhidmatan pada masa hadapan.

Skop projek ini melibatkan kerja-kerja pemulihan sepanjang 42 km antara Rawang - Salak Selatan dan Sentul - Simpang Batu termasuk kerja menaiktaraf 16 Stesen, isyarat dah sistem bekalan elektrik landasan berkembar di Lembah Klang. Projek ini telah bermula dari 2 November 2015 dan dijangka siap pada 1 November 2019. 

Azharuddin pada sidang media di tapak projek di Rawang, Selangor, berkata walaupun ada kalanya berlaku kelewatan kerana beberapa faktor, dia yakin projek berkenaan akan siap mengikut jadual. Kata beliau, memang ada tergendala seketika kerana faktor cuaca dan teknikal tetapi beliau yakin kontraktor yang bertanggungjawab, Dayamaju Infrastructure Asia Sdn Bhd (DMIA) boleh menyiapkannya mengikut jadual.

Menurut Azaharuddin lagi, pada ketika ini kira-kira 100 ribu penumpang menggunakan perkhidmatan tren setiap hari. KTMB mensasarkan jumlah itu akan meningkat lima peratus setiap tahun. Ia akan bertambah lagi sebaik projek ini siap. Apabila siap, KTMB akan meningkatkan kekerapan perkhidmatan dan penumpang akan merasa lebih selesa. 




0 comments:

 

Cucu Tok Selampit Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates