January 21, 2017

0 Pegawai Baru SPAD Siap Sedia Bertugas Sempena Tahun Baru Cina


Seramai 41 pegawai baru pasukan penguatkuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) siap siaga untuk ditugaskan bagi operasi sempena perayaan Tahun Baru Cina. SPAD semalam telah mengadakan majlis perbarisan tamat latihan bagi 41 anggota penguatkuasa SPAD baru di Kem Bumi Jati, Klang. Anggota ini akan menyertai barisan 343 anggota penguatkuasaan yang sedia ada.

Barisan anggota terbaru ini yang terdiri daripada pemegang ijazah dan diploma berumur di antara 23 dan 30 tahun telah menjalani kursus intensif selama 2 bulan yang merangkumi bidang perundangan, penguatkuasaan dan operasi, tatacara pemeriksaan dan sekatan jalan raya, siasatan dan pendakwaan, Kod Amalan Industri Keselamatan (SPAD ICOP Safety), etika penguatkuasaan dan ilmu beladiri.

Majlis perbarisan hormat tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi SPAD, TS Dr Syed Hamid Albar Jaafar Albar. Di dalam ucapannya, TS Dr Syed Hamid telah mengingatkan bahawa anggota penguatkuasaan SPAD memainkan peranan penting di dalam menguatkuasakan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010. Sebagai barisan hadapan yang mencerminkan imej SPAD di mata masyarakat, kesemua pegawai-pegawai penguatkuasa SPAD perlu sentiasa mengamalkan integriti dan disiplin yang tinggi.

Sehubungan dengan majlis perbarisan tamat latihan ini, Major Jeneral (B) Dato Paduka Che Hasni Che Ahmad, Pengurus Besar Kanan Bahagian Penguatkuasaan telah menyatakan bahawa anggota penguatkuasa terbaru ini akan dikerahkan serta-merta bagi operasi sempena perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.

Menurut Dato Che Hasni, anggota penguatkuasa berkenaan akan ditugaskan di terminal bas, lapangan terbang, pusat bandar dan lebuh raya. Di samping itu, mereka akan menyertai Operasi Khas Tahun Baru Cina bersama agensi-agensi penguatkuasaan lain seperti JPJ, PDRM dan AADK bagi mengekang kejadian kemalangan jalan raya. Operasi akan bermula pada 21 Januari sehingga 5 Februari, termasuk penugasan anggota selama 24 jam pada 27 Januari sehingga 1 Februari 2017.

Di antara tugasan anggota penguatkuasa SPAD pada musim perayaan ini termasuk pemeriksaan kaunter, pemantauan penjualan tiket dan ulat, pemeriksaan dokumen bas di terminal, pemantauan dan rondaan terhadap penggunaan meter teksi di pusat bandar, dan penyamaran di dalam bas ekspres. SPAD juga turut serta di dalam operasi bersepadu bersama agensi-agensi penguatkuasaan lain bagi musim perayaan ini.










0 comments:

 

Cucu Tok Selampit Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates