October 6, 2016

0 Malaysia Dilantik Ahli Majlis ICAO Empat Penggal Berturut-Turut



Menteri Pengangkutan, DS Liow Tiong Lai mengumumkan Malaysia sekali lagi dilantik sebagai ahli Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk penggal 2016 hingga 2019. Beliau berkata ia adalah pelantikan Malaysia sebagai ahli Majlis ICAO untuk penggal keempat, sejak 2007. 

DS Liow menambah, Malaysia meraih 129 daripada 172 undi negara yang layak memilih, sekali gus menunjukkan pengiktirafan dan kepercayaan badan antarabangsa untuk menerajui kedudukan berkenaan. Katanya, sebagai hab industri penerbangan awam di rantau ini, Malaysia komited memacu matlamat ICAO menerusi inisiatif `Tiada Negara Terpinggir' dan 'Generasi Penjawat Penerbangan Seterusnya.' 

Malaysia katanya akan terus memenuhi keperluan latihan komuniti penerbangan global menerusi Program Kerjasama Teknikal Malaysia. DS Liow berkata Malaysia berbesar hati dengan pengiktirafan ICAO susulan sumbangan Malaysia terhadap badan antarabangsa ini. Beliau ketika ini menghadiri Perhimpunan Agung ICAO Ke-39, di Montreal, Kanada. 

Beliau berkata, Malaysia tidak pernah berkompromi dalam usaha memastikan tahap keselamatan penerbangan awam global menepati piawaian. Sehubungan itu, katanya, kerjasama dengan negara anggota ICAO menerusi pelbagai inisiatif dirangka akan diteruskan. Malaysia katanya percaya usaha untuk menjamin keselamatan penumpang ketika penerbangan adalah keutamaan yang tidak boleh dipandang mudah, justeru ia boleh dicapai melalui kerjasama setiap negara anggota ICAO.

0 comments:

 

Cucu Tok Selampit Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates