September 14, 2016

0 Perdana Menteri Prihatin, Bincang Dengan SPAD Dan Prasarana Mengenai Gangguan Perkhidmatan LRT


Semalam, Perdana Menteri DS Mohd Najib Tun Abdul Razak telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berkaitan peristiwa gangguan perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya yang berlaku pada 7 dan 9 September 2016, 

Perdana Menteri secara peribadi dan bagi pihak Kerajaan telah menganggap kejadian yang berlaku ini sebagai perkara yang amat serius. Beliau telah mengarahkan Prasarana dan SPAD untuk menyiarkan butiran dan hasil siasatan tersebut sebaik sahaja siasatan selesai.

Dato Azmi Abdul Aziz, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Prasarana telah membentangkan hasil siasatan awal yang menunjukkan terputusnya bekalan elektrik mengakibatkan gangguan perkhidmatan LRT pada tarikh-tarikh yang berkenaan.

Perdana Menteri telah mengarahkan beberapa langkah segera untuk dilaksanakan oleh Prasarana dan SPAD bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh pengguna-pengguna LRT, sejajar dengan aspirasi Kerajaan untuk menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan utama rakyat.

Sebagai langkah serta-merta, penaiktarafan 15 buah pencawang tenaga elektrik sepanjang laluan LRT Kelana Jaya akan dilaksanakan. Penaiktarafan ini akan memastikan sistem elektrik dapat dipanjangkan jangka hayatnya, menampung keperluan semasa yang kian meningkat dan mengambil kira keperluan masa hadapan. Langkah ini dijangka akan mengambil masa di antara 3 hingga 6 bulan untuk diselesaikan sepenuhnya.

Selain dari itu, SPAD telah menekankan keperluan untuk Prasarana melaksanakan penilaian terperinci keseluruhan sistem yang ada, memandangkan LRT Kelana Jaya sudah pun beroperasi selama hampir 20 tahun. Penilaian ini akan mengenalpasti risiko yang ada serta langkah-langkah yang perlu diambil bagi mengatasi risiko tersebut, selain menyediakan perancangan untuk sistem gantian bagi sistem-sistem kritikal yang semakin hampir kepada penghujung jangka hayat penggunaannya. 

Perdana Menteri telah mengarahkan supaya Penilai Teknikal Bebas dilantik oleh Prasarana untuk menjalankan penilaian ini dengan kerjasama SPAD bagi memastikan pematuhan semua syarat dan peraturan yang sedia ada.

Perdana Menteri juga telah mengarahkan Prasarana untuk menjalankan penilaian semula keseluruhan operasi mereka bagi memperkukuhkan piawaian prosedur operasi (SOP) yang sedia ada bagi memastikan kapasiti yang mencukupi bagi menampung permintaan yang semakin meningkat.

Prasarana juga akan memperkenalkan secara berperingkat gerabak-gerabak keretapi yang baru pada laluan Kelana Jaya menjelang November 2016. Gerabak-gerabak ini akan berupaya membekalkan kapasiti serta kekerapan tambahan, sekaligus mengurangkan kesesakan di waktu puncak pada hari-hari bekerja.

0 comments:

 

Cucu Tok Selampit Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates