September 21, 2016

0 MCA Kemukakan Cadangan Balas Kepada SPR Mengenai Isu Persempadanan Semula


MCA akan mengemukakan cadangan balas terhadap persempadanan semula yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana terdapat beberapa isu yang tidak dipersetujui oleh parti berkenaan. Ini ditegaskan oleh presiden parti DS Liow Tiong Lai.

Beliau berkata butiran syor persempadanan semula yang telah diumumkan hujung minggu lalu itu bukan petanda baik bagi sebuah negara yang berbilang kaum dan agama. DS Liow berkata cadangan balas parti sedia untuk dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional Jumaat ini.

Beliau berkata, cadangan SPR itu telah menjejaskan 26 daripada 40 kerusi Parlimen parti yang akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang. Sambil menyifatkan kesannya dari segi peralihan pengundi, beliau berkata sembilan kerusi akan menyaksikan perubahan 10,000 pengundi, 5,000 pengundi (lapan kerusi), 3,000 pengundi (tujuh kerusi) dan 1,000 pengundi (dua kerusi).

DS Liow menambah, 14 kerusi selebihnya, akan menerima kesan minima dan beberapa kerusi negeri turut terjejas. Katanya beliau tidak akan mengulas lanjut kerana perbincangan mengenai isu itu masih berjalan. Para pemimpin dari 85 bahagian MCA yang melibatkan kerusi parti itu mengadakan mesyuarat di ibu pejabatnya di sini untuk membincangkan kesan persempadanan semula yang dicadangkan. Timbalan presiden parti DS Dr Wee Ka Siong, yang mengetuai jawatankuasa pilihan raya umum MCA, mempengerusikan mesyuarat itu.

0 comments:

 

Cucu Tok Selampit Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates