July 14, 2016

0 SPAD Gantung Lesen Syarikat Bas Yang Merempuh 10 Buah Kenderaan



Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah memulakan proses penggantungan lesen serta 26 permit bas Qistna Express Sdn Bhd. Tindakan itu diambil berikutan kemalangan membabitkan bas syarikat berkenaan pada 10/07/2016 di KM265.8 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Terowong Menora.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah, pihaknya telah memulakan tindakan itu akibat pelanggaran syarat keselamatan mandatori berdasarkan laporan audit SPAD terhadap syarikat tersebut bertarikh 12/07/2016.

Menurut Azharuddin, tindakan itu diambil sementara menunggu hasil siasatan dari Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) yang sedang dijalankan. Tegas beliau, SPAD memandang serius pematuhan keselamatan mandatori oleh pengusaha bas ekspres.
"Suruhanjaya (SPAD) percaya tindakan terhadap Qistna Express akan menjadi peringatan tegas kepada pengendali bas ekspres lain untuk memastikan mereka sentiasa mematuhi Kod Amalan Industri (ICOP) SPAD setiap masa bagi mengutamakan keselamatan pengguna."
"SPAD memberi jaminan kepada orang ramai pihaknya akan terus bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang yang lain seperti polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memastikan pengendali bas mengoperasikan kenderaan mereka dalam keadaan baik dan mematuhi segala peraturan lalu lintas serta keselamatan jalan raya."
Ahad lalu, sebuah bas persiaran milik Qistna Express merempuh sekurang-kurangnya 10 kenderaan di Lebuh Raya Utara-Selatan selepas Terowong Menora-Ipoh kira-kira jam 3 petang. Akibat rempuhan itu, dua dilaporkan cedera, manakala semua 28 penumpang dalam bas berkenaan selamat dan tidak mengalami kecederaan.

0 comments:

 

Cucu Tok Selampit Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates