February 12, 2015

0 Penutup PLKN Kumpulan 1, Siri 12, Tahun 2015 Meriah Dan Bersemangat


Hari ini tamatlah latihan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bagi Kumpulan 1, Siri 12, Tahun 2015. Upacara perasmian penutup telah diadakan di Kem PLKN Jaya Gemilang A'Famosa, Alor Gajah Melaka. Ini adalah kumpulan terakhir tahun ini sebelum Perdana Menteri ketika membentangkan perkembangan ekonomi semasa dan kewangan negara bulan lepas, menangguhkan program PLKN. Ini bagi membolehkan Kerajaan merasionalisasikan perbelanjaan dan bagi membolehkan program berkenaan dikaji semula dan ditambah baik.

Pengerusi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), Datuk Noor Ehsannudin bin Mohd Harun Narrashid, dalam ucapan penutupnya berkata, wira dan wirawati yang berada di dalam majlis berkenaan adalah golongan yang terpilih dan bertuah kerana tujuan program PLKN adalah untuk membentuk sebuah masyarakat yang berdisiplin, bersemangat waja, berkeyakinan diri, setia kepada negara, sentiasa menghadapi sebarang cabaran dan dugaan serta untuk memupuk semangat cintakan negara, sifat sukarelawan dan perpaduan kaum dikalangan pelbagai kaum di negara ini.

Datuk Ehsan juga mengingatkan peserta-peserta tentang tragedi pencerobohan oleh warga asing di Lahad Datu setahun yang lalu yang telah membunuh dan mencederakan anggota pasukan keselamatan. Beliau menigatkan bahawa keamanan yang kita kecapi selama ini boleh tergugat sekiranya kita tidak mempertahan dan memeliharanya. Beliau percaya, PLKN telah berjaya meningkatkan semangat partiotisme di kalangan pelatih-pelatih sehingga mungkin ada di kalangan mereka yang menyimpan hasrat untuk berbakti dengan menyertai pasukan keselamatan sebagai kerjaya.

Sebelum beliau merasmikan majlis penutup, Datuk Ehsan menyeru bekas-bekas pelatih supaya berupaya menyumbang tenaga dengan menyertai aktiviti-aktiviti kemasyarakatan terutama membantu negara sekiranya berlaku sesuatu bencana seperti tanah runtuh, banjir atau sebagainya. Beliau berharap bekas-bekas pelatih dapat meningkatkan semangat kesukarelawan dengan memohon menjadi ahli Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN).




0 comments:

 

Cucu Tok Selampit Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates