January 15, 2015

0 Peristiwa Charlie Hebdo - Dr Mashitah Sudah Memberi Peringatan Tentang Kumpulan IS Sewaktu PAU2014


Peristiwa berdarah Charlie Hebdo, iaitu kejadian serangan terhadap sebuah agensi penerbitan kartun di Perancis oleh dua orang rakyatnya yang terpengaruh dengan ideologi militan IS, telah mengejutkan dunia termasuk rakyat Malaysia. 17 orang termasuk 12 orang kakitangan agensi penerbitan kartun itu terkorban dalam serangan tersebut. 2 orang yang beragama Islam turut dibunuh oleh penyerang dalam peristiwa tersebut.

Apa yang boleh dipelajari dari serangan Charlie Hebdo adalah penyerangnya adalah dua orang anak muda yang terpengaruh dengan ideologi IS, sebuah pertubuhan yang diisytihar sebagai kumpulan pengganas oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Malah Malaysia juga membuat pendirian bahawa IS bukan mencerminkan Islam yang sebenar malah dilihat sebagai satu kumpulan pengganas.

Potensi ancaman daripada kumpulan IS menjadi kebimbangan umum kerana rakyat Malaysia dikesan turut terlibat dalam kumpulan IS di Syria dan Iraq. Kertas Putih mengenai IS yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia mendedahkan bahawa seorang rakyat Malaysia, Ahmad Tarmimi Maliki, yang menyertai kumpulan IS telah menjadi pengebom berani mati di Iraq yang menyebabkan 25 orang tentera elit Iraq terkorban.

Laporan juga menyebut bahawa 4 orang rakyat Malaysia yang menyertai IS terbunuh dalam medan pergerakan militan di Syria pada tahun 2014. Di samping itu, seramai 39 orang rakyat Malaysia  telah dikenalpasti masih berada di Syria. Pihak Polis pula dilaporkan berjaya menahan 40 orang rakyat Malaysia yang sedang berusaha untuk berlepas ke Syria menyertai militan IS. Malah baru-baru ini, dua orang rakyat Malaysia diusir dari Australia yang disyaki terlibat dalam IS.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Baling, Dato Dr Mashitah Ibrahim yang telah lebih awal memberi amaran kepada para perwakilan UMNO tentang bahayanya ancaman kumpulan IS ini kepada kerajaan Malaysia secara amnya dan umat islam secara khususnya, ketika Persidangan Agong UMNO 2014. Berikut adalah sedutan teks ucapan Datuk Dr. Mashitah Ibrahim:
Kini, semakin ramai yang menyertai gerakan militan ‘Negara Islam’ (Islamic State) berperang di Syria-Iraq, juga kerana ingin mati syahid dan masuk syurga. Ramai dikatakan orang muda dari seluruh dunia. Ini manifestasi gejolak anak muda yang ingin jadi seperti Saidina Hamzah, menjadi Ahl Badar, nak mati syahid kerana mati syahid membawa ke syurga. Daripada 12,000 ribu rakyat asing yang kononnya sudah bersama IS, 15 orang adalah rakyat Malaysia, termasuk perempuan remaja yang sanggup menjadi isteri pejuang IS kononnya pengorbanan yang juga akan membawa mereka ke syurga. Terbentuk dalam minda mereka satu persepsi atau pemikiran bahawa jalan terbaik ialah berjihad.

Tapi hakikatnya kena faham betul-betul. Jihad kalau dipupuk dengan cara yang betul akan menjadikan seseorang itu serius dan bersungguh-sungguh melaksanakan tuntutan Islam dalam segala aspek kehidupan. Tapi jika diselewengkan maknanya, ia boleh menjadi ancaman dan menyemarakkan lagi Islamophobia di kalangan Barat dan hanya akan meng’iya’kan label terroris pada umat Islam. Kumpulan IS diketahui membunuh orang awam yang tidak berdosa, dan memenggal kepala tebusan. Perbuatan seperti ini atas nama Islam bukan sahaja kejam dan tidak bertamadun, malah merosakkan imej agama Islam di kaca mata dunia lebih-lebih lagi ketika dunia  Barat yang kian beranggapan bahawa  Islam adalah agama yang menganjurkan keganasan.

Perjuangan dan pengorbanan yang diajarkan Islam bukan seperti perbuatan menjadi pengebom berani mati dan memenggal kepala orang yang tidak berdosa atas alasan agama kerana ia dilarang keras disisi Islam. Ini bukan jihad, dan tentunya bukan jalan masuk syurga. Sebenarnya, tidak ada jalan pintas atau special highway atau express lane ke syurga. Nak masuk syurga tidaklah semudah itu.

أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُواْ الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُم مَّثَلُ الَّذِينَ خَلَوْاْ مِن قَبْلِكُم مَّسَّتْهُمُ الْبَأْسَاء وَالضَّرَّاء وَزُلْزِلُواْ حَتَّى يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُواْ مَعَهُ مَتَى نَصْرُ اللّهِ أَلا إِنَّ نَصْرَ اللّهِ قَرِيبٌ( البقرة)214) 
Apakah kamu sangka semudah itu kamu blh jejak syurga Allah. Inilah laluan Asiah Mazahim, isteri Firaun, bila dia berdoa:
“وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا لِلَّذِينَ آمَنُوا امْرَأَتَ فِرْعَوْنَ إِذْ قَالَتْ رَبِّ ابْنِ لِي عِنْدَكَ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ وَنَجِّنِي مِنْ فِرْعَوْنَ وَعَمَلِهِ وَنَجِّنِي مِنَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ

Malaysia selaku sebuah negara majmuk perlu berwaspada terhadap sebarang ideologi berpaksikan  fanatisme, perkauman atau keganasan  bersifat militan agar tidak menyusup ke dalam pemikiran anak muda  Islam kerana penduduk Malaysia  terdiri daripada pelbagai keturunan, agama dan budaya. Malaysia menghargai dan menghormati identiti etnik setiap kaum di negara ini dan menganggapnya sebagai satu aset yang dibanggakan. Sebagai perintis ‘Gerakan Kesederhanaan Sedunia (GMM)’ yang berpaksikan pendekatan wasatiyyah, Malaysia mengutuk perjuangan melampau dan militan seperti IS yang langsung tidak mencermin atau menonjolkan kemurnian Islam yang sebenar. Berkaitan ini, Malaysia menyokong penuh  Resolusi  2170 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menentang  sebarang bentuk sokongan dan bantuan kepada IS.

0 comments:

 

Cucu Tok Selampit Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates