September 26, 2014

10 Banjir Lumpur Di Paya Terubong - Kerajaan DAP Pulau Pinang Harus Disaman

Banjir di Pulau Pinang berlaku lagi hari ini. Kali ini di Paya Terubong. Inilah akibat kerakusan pemaju menggondolkan bukit untuk tujuan pembangunan. Ketiadaan pelan tempatan sejak DAP menjadi kerajaan Pulau Pinang menyebabkan pembangunan sudah tidak terkawal. Rakyat Pulau Pinang terutama masyarakat Paya Terubong harus menyaman Kerajaan Negeri di atas kerosakan yang dialami. Ini kerana kekhilafan Kerajaan Negeri membenarkan bukit-bukit di sekitar Paya Terubong dan Relau ditarah untuk tujuan pembangunan yang tidak terkawal sehingga menyebabkan berlakunya banjir lumpur.





0 Program "My Diamond: Prihatin OKU" Anjuran Parlimen Kota Tinggi Wajar Dicontohi


Golongan orang kurang upaya (OKU) merupakan sebahagian daripada masyarakat. Oleh itu, mereka mempunyai kesaksamaan hak dan peluang untuk menjalani kehidupan seperti anggota masyarakat yang lain. Pendekatan berasaskan hak atau 'rights-based' dan juga perlindungan wajar digunakan bagi menjamin kepentingan dan kesejahteraan OKU. OKU adalah seseorang yang mempunyai ketidakupayaan jangka masa panjang dari segi fizikal, mental, intelektual atau pancaindera yang apabila berhadapan dengan pelbagai halangan mungkin tidak dapat melibatkan diri sepenuhnya dan secara efektif dalam masyarakat.

Menyedari hakikat tersebut, Pusat Khidmat Parlimen Kota Tinggi dengan kerjasama NGO Yayasan Mesra dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Kejora pada 19 dan 20 September 2014, telah mengadakan program "My Diamond: Prihatin OKU". Penganjuran program ini bertujuan untuk memberi bantuan dan sokongan moral serta kaunseling kepada golongan OKU di sekitar kawasan Kota Tinggi, di samping dapat memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada golongan ini. 

Selain itu, program ini diharap dapat meningkatkan keprihatinan masyarakat terhadap golongan OKU untuk mewujudkan integrasi dan kesedaran yang berterusan di kalangan masyarakat. Program ini telah diadakan di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Indah Murni, Perumahan Tersusun, Kg Mawai, PDK Cemerlang, Gugusan Wa Ha dan PDK Harapan Murni. Antara bantuan yang diberikan adalah bantuan tunai sebanyak RM200 bagi setiap keluarga selain dari bantuan barangan dapur seperti beras, gula, garam dan makanan di dalam tin.

Adalah diharapkan program murni yang dianjurkan oleh Yayasan Mesra dan Pusat Khidmat Parlimen Kota Tinggi di bawah Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid, dapat memberi bantuan motivasi, sokongan moral dan barangan keperluan barangan kepada OKU, mengenal pasti ahli keluarga yang mempunyai OKU di kawasan Kota Tinggi, menubuhkan kumpulan sokongan kepada ibu bapa OKU dan penerapan nilai-nilai pemikiran positif kepada ibu bapa dan ahli keluarga OKU.




8 Belum Seminggu YAB @AzminAli Jadi Menteri Besar Selangor, Beliau Sudah 'u-turn' dan 'flip flop'

Pukul 3.00 petang semalam, Dato Menteri Besar Selangor, Azmin Ali berkata beliau sudah hantar nama-nama EXCO dan Tuanku Sultan sudahpun bersetuju. YAB Azmin Ali telah persembahkan nama-nama bakal menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) kepada Tuanku Sultan. Bukti lihat video klip di bawah:

video

Tup tup ... Pukul 10.00 malam, beliau telah menulis di laman sosial Twitter bahawa beliau masih dalam perbincangan. Belum ada keputusan.


Adakah Azmin Ali telah mendapat tekanan daripada Ketua Umum (KETUM), Anwar Ibrahim atau DAP bila mana beliau masih mengekalkan 4-3-3 untuk barisan EXCO beliau iaitu 4 untuk PAS dan 3 masing-masing untuk PKR dan DAP?

Yang ini kita nak panggil apa? Gagap ka? Flip-flop ka? Atau U-turn ka?

Terkini 10.00 AM:

Komposisi barisan Exco Selangor akhirnya terjawab pagi ini apabila Menteri Besar, Azmin Ali mengumumkan senarai yang baru dengan mengurangkan kuota Exco PAS kepada 3 daripada 4 sebelum ini. Azmin mengumumkan demikian pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK). Berikut adalah senarai EXCO Selangor yang baru:

1. Elizabeth Wong - PKR
2. Dr Daroyah Alwi - PKR
3 Nik Nadzmi Nik Ahmad - PKR
4. Amiruddin Shari - PKR
5. Teng Chang Khim - DAP
6. Ean Yong Hian Hua - DAP
7. Ganabatirau Veraman - DAP
8. Iskandar Abdul Samad - PAS
9. Dr Ahmad Yunus Hairi - PAS
10. Zaidy Abdul Talib - PAS

PAS kini sudah hilang maruah diri. PAS ada 15 orang ADUN. Hanya 3 orang dilantik EXCO berbanding PKR yang tinggal 13 ADUN ada 5 EXCO termasuk Menteri Besar. DAP kekal 3 EXCO. Ertinya yang bagi kuat Kerajaan PR di Selangor ialah perkahwinan mutaah di antara PKR dan DAP.


September 25, 2014

0 "Walkabout Ziarah Mesra, Jalinan Murni" Satu Usaha Murni Parlimen Kota Tinggi Untuk Rakyat


Bertempat di Dewan Undangan Negeri Sedili, Kota Tinggi, sebuah pertubuhan NGO, Yayasan Mesra dengan kerjasama Pusat Khidmat Parlimen Kota Tinggi, UMNO Bahagian Kota Tinggi dan UMNO Cawangan DUN Sedili telah mengadakan program "Walkabout Ziarah Mesra, Jalinan Murni". Program ini yang diadakan pada 13 September 2014, bertujuan untuk untuk menyampaikan sumbangan kepada warga fakir miskin kawasan DUN Sedili, Parlimen Kota Tinggi.

Program "Walkabout Ziarah Mesra, Jalinan Murni ini merupakan satu kerangka program yang memberi pendekatan "Mesra Bersatu Bersama Rakyat" untuk merealisasikan serta mendokong amanat YAB Perdana Menteri, DS Najib Tun Razak supaya usaha menjiwai rakyat sentiasa berterusan.   Program ini  juga merupakan satu wadah komunikasi secara dekat di antara penduduk dan juga pemimpin tempatan serta mewujudkan hubungan integrasi diantara agensi kerajaan, badan bukan kerajaan serta penduduk tempatan melalui pendekatan rumah ke rumah.

Adalah diharapkan objektif program ini dapat dicapai untuk mewujudkan ukhuwah diantara rakyat dan pemimpin, sebagai wadah interaksi untuk mendengar, mengenal pasti serta menangani masalah-masalah yang dihadapi oleh golongan fakir miskin dari DUN Sedili, Parlimen Kota Tinggi, memberi bantuan dan sumbangan serta sokongan moral kepada kanak-kanak yang mengalami masalah kesihatan dan menerapkan nilai-nilai murni seperti kasih sayang, bantu-membantu, semangat kekitaan, perpaduan di antara kaum. 

Program ini melibatkan 30 buah rumah di Kampung Sayang, Kampung Gembut, Kampung Mawai dan Kampung Sedili Kechil. Tahniah kepada semua pihak yang terlibat mendekati Rakyat terutama pihak penganjur Yayasan Mesra dan juga Ahli Parlimen Kota Tinggi sendiri, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid. Semoga usaha murni ini diberkati Allah.






0 Siaran Media SPAD - Penambahbaikan Laluan Baru Bas GO KL

Bermula 01 Oktober 2014, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan menambahbaikkan laluan perkhidmatan bas bandar GO KL. Langkah penambahbaikan ini merangkumi perubahan lokasi mula dan akhir laluan, penambahan perkhidmatan ke destinasi tumpuan ramai dan pemberhentian perkhidmatan ke destinasi yang kurang sambutan terhadap GO KL. Dalam penambahbaikan ini, antara laluan baru yang diperkenalkan adalah Terminal Bas Jalan Tun Razak, Hospital Damai, Chow Kit, Grand Season, Masjid Kampung Baru dan sebagainya.

Bas bandar Go KL adalah inisiatif Kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan bas percuma di kawasan Central Business District (CBD) Kuala Lumpur. Ini merupakan sebahagian daripada Pelan Transformasi Kerajaan dalam usaha mempertingkatkan penggunaan pengangkutan awam dan mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian di kawasan CBD Kuala Lumpur. Untuk makluman, perkhidmatan bas bandar Go KL telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada 31 Ogos 2012 merangkumi dua laluan sahaja iaitu Laluan Hijau dan Laluan Ungu. Kesemua laluan-laluan bas bandar Go KL ini meliputi kawasan tumpuan orang ramai seperti pejabat-pejabat, terminal pengangkutan awam, pusat membeli-belah dan tempat-tempat pelancongan yang menarik.

Berdasarkan kaji selidik yang telah dijalankan, perkhidmatan Go KL dinaiki hampir 20,000 penumpang sehari sejak ianya diperkenalkan. Dengan pengenalan laluan baru iaitu laluan merah serta penambahbaikan yang dilakukan, pihak SPAD menjangkakan 40,000 penumpang akan mendapat manfaat daripada perkhidmatan ini. Penumpang bas bandar Go KL ini dapat menikmati kemudahan seperti sistem Wi-Fi percuma, kemudahan untuk pengguna OKU dan sistem kamera litar tertutup untuk keselamatan pengguna.




September 24, 2014

4 Kerajaan DAP Pulau Pinang Halau Penduduk Siam Pulau Tikus - Penduduk Siam #PengkalanKubor Jadikan Sebagai Pengajaran


Satu lagi Kampung Warisan di Pulau Pinang akan lenyap di telan kerakusan pembangunan Kerajaan DAP. Kali ini di Kampung Siam, Pulau Tikus. Kampung Warisan ini telah wujud sejak kurun ke 19. Kampung Warisan ini merupakan penempatan masyarakat Siam dan Burma sejak zaman British lagi. Kerajaan DAP Pulau Pinang dengan kerjasama pemaju telah menghambat orang-orang Siam keluar dari Kampung Warisan mereka. 

Isu ini timbul sejak April tahun ini. Penduduk-penduduk telah meminta tolong daripada ADUN DAP Pulau Tikus, YB Yap Soo Huey namun beliau cuba untuk mengelak dari membawa isu berkenaan kepada Kerajaan Negeri. Isu pentig di sini, bagaimana tanah di bawah 'Trustees' boleh dipecah kepada lot baru dan dijual/dipindah milik kepada pemaju? 

Isu tambah meragukan apabila tanah ditukar syarat kegunaan ke komersial dan hotel. Inilah nilai masyarakat Siam kepada Kerajaan PR. Oleh itu, penduduk-penduduk Siam di DUN Pengkalan Kubor, janganlah memperjudikan nasib anda di tangan pemerintah PR, baik DAP, PKR atau PAS!










4 Utusan Malaysia Buat 'Cywar Bodoh' Hari Ini - Puji Anwar Ibrahim Dan Hina Tuanku Sultan?



Sinar Harian hari ini memulakan tajuk utama akhbar mereka dengan "Azmin Puji Khalid" manakala Utusan Malaysia meletakkan tajuk utama mereka sebagai "Azmin Kritik Khalid". Mana satu yang betul? Dalam pengajian 'journalisme', ianya dipanggil 'media framing and spinning'. Bagi CTS pula, ianya dipanggil 'cywar bodoh!'

CTS juga tidak setuju dengan berita yang ditulis oleh Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zaini Hassan yang bertajuk, "Misteri MB Azmin: Langkah 2A, Kisah 2 Tan Sri Dan RM3.2b", baca di sini. Rencana dan berita ini menonjolkan kononnya kebijaksanaan Anwar Ibrahim dengan muslihatnya untuk menaikkan Azmin Ali menjadi Menteri Besar. Datuk Zaini terlupa bahawa dengan perlantikan Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor merupakan satu kegagalan Anwar Ibrahim yang nyata dalam 'Langkah Kajang'. 

Tulisan Datuk Zaini menampakkan seolah-olah Sultan Selangor begitu bodoh untuk ditipu oleh Anwar Ibrahim. Hakikat yang tidak boleh dilupakan adalah ini adalah satu agenda 'nepotisme' terbesar yang cuba dilakukan oleh Anwar Ibrahim dan PKR apabila cuba untuk menaikkan isteri sendiri menjadi Menteri Besar. Kalau betul strategi asal untuk menaikkan Azmin Ali sebagai Menteri Besar, Anwar Ali dan PKR tidak perlu bersush payah untuk mengosongkan kerusi Parlimen Kajang untuk membolehkan Wan Azizah bertanding.

Apakah yang dimaksudkan pula apabila Datuk Zaini menulis, "Penglibatan dua orang bergelar Tan Sri yang dikatakan mempunyai talian dengan Istana melobi keras untuk Azmin menjadi MB dikatakan pengunci Langkah 2A." Apakah Datuk Zaini dan Utusan Malaysia mahu menunjukkan Tuanku Sultan Selangor seorang yang korupsi atau mudah dipengaruhi oleh orang lain? Apakah keputusan yang dilakukan oleh Tuanku Sultan satu tindakan desperado dan tindakan terpaksa akibat terjerat dengan mainan Anwar Ibrahim?

Perkara 53 memberi kuasa kepada Tuanku Sultan melantik Menteri Besar Selangor daripada mereka yang pada pandangan Tuanku mendapat sokongan majoriti ADUN. Kenapakah mesti dipertikaikan keputusan yang Tuanku Sultan buat? CTS tidak kisah apabila Datuk Zaini dan Utusan Malaysia mahu membodek Azmin Ali atau Anwar Ibrahim. Namun apabila mereka cuba untuk merendahkan keputusan yang dibuat oleh DYMM Sultan Selangor, ini tidak boleh diterima dan merupakan suatu tindakan yang keterlaluan.

9 Kempen 'Last Minute' #PRKPengkalanKubor - Nik Aziz Doa "Kerat-Keratkan Lidah Mereka, Butakan Mata Mereka"


Menjelang 48 jam tempoh pengundian di Pilihanraya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor, PAS mengadaptasi dua strategi mereka yang terakhir. Pertama, isu pemberian wang tunai yang dikatakan royalti minyak kepada penduduk-penduduk Kelantan terutama pengundi-pengundi DUN Pengkalan Kubur dan keduanya ancaman dalam bentuk doa bala ke atas sesiapa yang tidak mengundi parti bulan purnama berkenaan.

Bertempat di tempat ceramah di belakang Masjid Genting, Mursyidul Am PAS berdoa bala ke atas pengundi-pengundi Barisan Nasional (BN). Antara intipati doa adalah berbunyi, "Supaya Allah buka pintu hati mereka, kembali ke pangkal jalan, kerat-keratkan lidah mereka, butakan mata mereka supaya tidak nampak kecuali nampak bulan sahaja."

CTS ingatkan doa bala ini sudah tiada setelah adik Mursyidul Am suatu masa dahulu berdoa bala hancurkan UMNO / BN lebih kurang sama. Ini disusuli dengan doa bala sesama mereka di Muktamar PAS yang lepas. Sekarang doa bala kembali ke atas penyokong-penyokong BN. Kita reda sajalah dengan doa ini sebab yang memakbulkan doa adalah Allah SWT dan bukannya Mursyidul Am PAS.

video

0 Cadangan Pergabungan Dengan FGV Dan Century Logistics Mungkin Tidak Terlaksana


Century Logistics Holdings Bhd (Century) tidak menjangka akan berlakunya kerjasama dengan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) yang diura-urakan akan membeli pegangan besar dalam syarikat logistik mereka, kata Pengarah Urusan Century Logistics Steven Teow Choo Hing. 

"Kami tidak menjangkakan ia (kerjasama dengan FGV) akan berlaku. Kami mahu cerita ini berakhir. Kami tidak mahu memberi maklumat yang salah kepada pasaran dan orang ramai berharap ianya mungkin berlaku. Buat masa ini, saya yakin tiada apa yang konkrit akan berlaku." Teow berkata kepada pemberita selepas EGM syarikat berkenaan semalam. 

FGV dikatakan berminat untuk membeli pegangan besar di Century sekitar pertengahan Mac yang lalu. Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, Century berkata syarikat berkenaan terbuka kepada meneroka potensi pelaksanaan korporat dengan FGV. Sementara FGV pula telah memberitahu Bursa Malaysia mereka sentiasa meneroka potensi penggabungan dan pengambilalihan untuk menyokong pertumbuhan perniagaannya. 

Ini berikutan laporan bahawa cakap-cakap pergabungan di antara gergasi perladangan dan pemegang saham terbesar Century, Datuk Richard Phua Sin Mo, yang memiliki 26.4 peratus kepentingan, telah berlangsung sejak beberapa lama. Dikatakan FGV melihat Century sebagai syarikat yang sesuai untuk menyepadukan rantaian minyak sawit dan bekalan getah syarikat gergasi perladangan berkenaan.

CTS melihat FGV sebagai pengeluar minyak sawit terbesar di dunia, sedang meneroka lebih banyak pilihan untuk membuka peluang nilai tambah dan menghasilkan keuntungan dalam bahagian pengangkutan dan logistik. Sejak tahun lepas, khabar angin telah bertiup kencang bahawa FGV akan membeli pegangan besar dalam syarikat logistik Century. Alasan untuk ini adalah kerana FGV mahu mewujudkan syarikat pengangkutan sendiri dan bahagian logistik ke dalam entiti tersenarai untuk mewujudkan kecekapan dan skala yang lebih besar. 

Berkemungkinan besar juga kegagalan pergabungan FGV dan Century juga adalah disebabkan FGV sedang menilai syarikat logistik lain. Satu lagi syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang menjadi perhatian FGV adalah syarikat pengendali gudang, logistik dan pembekal, Integrated Logistics Bhd (ILB). Walau bagaimanapun, ini bukanlah satu-satunya syarikat yang yang menjadi perhatian FGV buat ketika ini. 

September 23, 2014

0 Pengharaman Teksi UBER Oleh JPJ Dan SPAD - Teksi Harus Buka Mata Untuk Perkhidmatan Yang Lebih Baik


Kita menyambut baik tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil langkah drastik dengan mengharamkan perkhidmatan teksi Uber di negara ini yang beroperasi dengan menggunakan kenderaan persendirian menerusi aplikasi telefon pintar dan juga akan bersama Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengadakan operasi bersepadu bagi membanteras kegiatan sistem pengangkutan itu bermula 1 Oktober 2014.

Ini berikutan perkhidmatan teksi Uber yang menyalahi undang-undang kerana menggunakan kenderaan persendirian dan tidak mendapat kelulusan lesen pengendali daripada SPAD sebagaimana dinyatakan mengikut Seksyen 16 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010. Sebagaimana kontroversi yang berlaku sebelum ini, Uber menggunakan kereta persendirian yang tidak mempunyai permit untuk beroperasi sebagai pengangkutan awam syang lain dan pemandunya juga tidak mempunyai lesen memandu PSV. 

Ini adalah satu kebimbangan pihak berkuasa, terutamanya dari segi keselamatan sekiranya berlaku kemalangan di jalan raya. Keduanya, tambang Uber yang tidak mematuhi struktur tambang teksi yang diluluskan oleh pihak SPAD. Ini menyebabkan berlakunya ketidakadilan ke atas pemandu-pemandu teksi yang lain yang bersaing dengan mengikut peraturan dan tambang yang ditetapkan.

Baru-baru ini,  mahkamah serantau Jerman telah mengeluarkan injunksi sementara terhadap Uber kerana pemandunya tidak mempunyai lesen komersial yang diperlukan untuk mengambil penumpang. Bagaimanapun, syarikat yang berpangkalan di Frankfurt itu berkata, Uber akan meneruskan operasinya walaupun terdapat injunksi tersebut. Syarikat itu juga memberi maklumbalas dalam satu kenyataan bahawa pihaknya merancang untuk merayu keputusan mahkamah itu.

Perkhidmatan Uber seharusnya menjadi pembuka mata bagi pemandu teksi yang sedia ada. Dengan perkhidmatan Uber, mereka mempunyai kereta yang menunggu mereka, pemandu yang ramah dan mungkin ada air mineral untuk mereka di dalam kereta serta lebih selesa. Penumpang sukakan begitu. Selain dari pemanduan yang selamat, penumpang juga perlukan layanan yang mesra dari pemandu teksi.

Sikap pemandu teksi yang tidak mahu menggunakan meter juga menimbulkan masalah dan keresahan kepada pengguna. Ada yang bertanya kepada penumpang di mana mereka pergi dan berapa banyak mereka sanggup membayar. Ada yang menolak penumpang kerana kesesakan lalu lintas. Ini seharusnya tidak berlaku. Jika mereka melakukan kerja mereka, ambil penumpang dan menyediakan perkhidmatan yang baik, maka pemandu-pemandu teksi juga dapat memperoleh jumlah wang yang baik.

Walaupun banyak bilangan pemandu teksi di negara ini, namun kebanyakannya tidak profesional dalam tugas mereka. Beberapa pemandu teksi di bandar terutamanya adalah seperti 'Touch n Go'. Jika tiada pekerjaan, maka mereka membuat keputusan untuk menjadi pemandu teksi. Ada sesetengah orang pula, memandu teksi adalah kerja separuh masa atau 'part time'. Ini tidak termasuk lagi pemandu teksi yang meng'alibaba'kan lesen mereka untuk keuntungan yang segera.

Sesetengah teksi yang terdapat di Ibu Kota adalah kotor dan tidak selesa untuk dinaiki. Pemandu teksi harus memastikan teksi mereka berada dalam keadaan baik dan bersih. Tidak rugi sekiranya pemandu teksi membelanjakan sedikit wang untu membeli haruman kereta untuk keselesaan penumpang. Bayangkan pilihan yang pengguna ada sekiranya Uber diluluskan dan mengikut undang-undang yang ditetapkan, kemungkinan pemandu teksi yang sedia ada akan susah untuk cari makan.

Jangan salahkan pengguna memilih perkhidmatan teksi Uber untuk perjalanan yang sama menggunakan kereta Mercedes. Ia adalah lebih selesa dan anda tidak perlu bertanya harga kepada pemandu kerana bayaran akan dibuat melalui kad kredit sebelum menggunakan perkhidmatan. Pemandu teksi sendiri harus berubah kalau tidak mahu mereka diubah.

September 22, 2014

14 YB @AzminAli Yang Dilantik Menjadi Menteri Besar Selangor, Menteri UMNO Pulak Yang Terlebih Seronok


Tahniah kepada ADUN Bukit Antarabangsa yang akan mengambilalih tempat TS Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar yang baru esok. Kita masih tidak tahu apakah drama terbaru yang akan dimainkan oleh PKR selepas perlantikan YB Azmin Ali sebagai Meteri Besar. Walaupun berita perlantikan YB Azmin Ali masih tidak diumumkan secara rasmi, Menteri UMNO sudahpun melompat kegembiraan. 

CTS memang tidak faham dengan politik liberal seperti yang diamalkan sekarang oleh beberapa Menteri UMNO. YB Khairy Jamaluddin, Menteri Kementerian Belia Dan Sukan, hari ini melahirkan kegembiraan di atas perlantikan YB Azmin Ali sebagai Menteri Besar, sehinggakan beliau mengenang kembali kisah-kisah lama beliau dengan Azmin Ali pada tahun 2010, yang kononnya beliaulah antara pencetus hastag #TeamAzmin.

Nampak gayanya lama lagilah Selangor akan berada di bawah pemerintahan PR kalau pemimpin-pemimpin UMNO sendiri merasa selesa dengan kejayaan musuh politik mereka. Patutlah Menteri UMNO pakai stokin warna pink!!!



Sementara itu, di perkarangan YB Gombak, khemah-khemah telah didirikan untuk menyambut Menteri Besar baru esok.


Terkini 9.00 PM:

Drama sinetron Menteri Besar Selangor telahpun berakhir dengan perlantikan YB Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor. Dr Wan Azizah, Presiden PKR (baca atas arahan Anwar Ibrahim) telah mengeluarkan Kenyataan Akhbar menarik diri dari menjadi calon Menteri Besar baru bagi memberi laluan kepada madunya, opps Timbalan Presidennya.

0 Jangan Lupa Pemandu Teksi - 30 September Tarikh Ahir Penembusan Baucer Tayar TR1Ma


Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) mengingatkan bahawa tarikh akhir penembusan baucer tayar TR1Ma 1.0 dan TR1Ma 2.0 adalah pada 30 September 2014. Program bantuan Teksi Rakyat 1 Malaysia (TR1Ma) adalah cetusan buah fikiran DS Mohd Najib Tun Razak, Perdana Menteri atas keperihatinan beliau mengenai masalah yang dihadapi pemandu teksi. Perdana Menteri faham akan keluhan pemandu teksi yang menghadapi kos penyelenggaraan yang kian meningkat yang turut mengugat keselamatan serta keselesaan penumpang teksi.

Permohonan baucer tayar TR1Ma 2.0 boleh dihantar ke semua kaunter SPAD dan Cawangan-Cawangan LPKP (bagi Sabah dan Sarawak) sebelum 30 September 2014. Adalah diharapkan TR1Ma dapat membantu pemandu teksi dan sekaligus menaikkan taraf perkhidmatan teksi di Malaysia. TR1Ma juga diharapkan bukan sahaja membaiki mutu perkhidmatan teksi, ia mampu meningkatkan persepsi dan keyakinan Rakyat terhadap perkhidmatan teksi.

Program Bantuan Tayar 1 Malaysia (BT1M) untuk teksi merupakan program pertama yang dilancarkan di bawah TR1Ma. Antara program lain yang bakal dilancarkan di bawah TR1Ma termasuk insurans berkelompok serta khairat, duta teksi dan lain-lain lagi.
 

Cucu Tok Selampit Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates