June 28, 2014

0 Lawak Antarabangsa Bila Ruangan 'Car.Bikes.Trucks.' Gelar Pengerusi SPAD Sebagai 'Proton Salesman'

Agak menarik untuk membaca artikel yang disiarkan dalam sisipan 'Cars.Bikes.Trucks.' di akhbar New Sunday Times yang boleh dibaca secara online, di sini. Antara mesej utama yang cuba untuk disampaikan dalam artikel bertajuk 'SPAD chairman is also Proton salesman', adalah Pengerusi SPAD cuba untuk menyelamatkan industri syarikat kereta Nasional Proton dengan mengarahkan tanpa kebenaran Kerajaan agar kesemua jenis teksi baru bermula mulai bulan lepas, menggunakan Proton Exora.

Tan Sri Syed Hamid Albar hari ini menjawab persoalan berkenaan seperti di bawah:
Merujuk kepada artikel bertajuk 'SPAD’s Chairman is also Proton’s Salesman,' Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat ('SPAD') ingin menjelaskan keputusan untuk mengguna Proton Exora telah dibuat oleh kerajaan dan ia adalah selaras dengan Dasar Automotif Negara. Ia tidak termasuk dalam bidang kuasa Pengerusi SPAD.
Sebagai sebuah agensi kerajaan yang melaksanakan transformasi industri teksi, SPAD adalah terikat untuk mematuhinya. Keputusan itu berdasarkan kepada pelbagai pertimbangan termasuk spesifikasi teknikal, ruang bagasi, ruangan untuk kaki dan kepala. Dari segi 'value for money' pula, persoalan kemampuan untuk pemandu teksi juga telah dipertimbangkan. Proton Exora adalah model yang paling mampu untuk dimiliki di dalam kelasnya tersendiri. Cadangan nilai juga termasuk pilihan dwi-bahan api (petrol dan NGV); dengan potensi masa depan untuk diesel atau versi hibrid.
Dari segi skala ekonomi, bahagian-bahagian Proton Exora mudah diperolehi. Oleh itu ia adalah lebih menjimatkan bagi pemandu teksi untuk menyelenggara kenderaan mereka. Proton juga lebih responsif kepada apa-apa permintaan untuk perubahan spesifikasi kenderaan dan ia satu kelebihan.
Industri teksi di Malaysia adalah pelbagai. Keseragaman dan kesamaan seperti yang dilihat di London, New York dan Dubai adalah satu kemestian untuk kemampanan industri. Teksi 1Malaysia (TEKS1M) yang baru ini adalah bertujuan untuk menyediakan satu model operasi yang selaras dan cekap. Ini termasuk spesifikasi yang minima dengan penekanan terhadap keselamatan, keselesaan dan jangka had penggunaan yang lebih pendek ke 7 tahun . Ia juga akan menyediakan saluran ke pusat tempahan dan sistem penghantaran untuk rangkaian operasi yang lebih luas. SPAD akan selaras stuktur tambang bagi memastikan kemampanan industri.

June 27, 2014

1 KPDNKK Wajib Bertindak Berdasarkan Laporan Khas Utusan Malaysia Mengenai Penyelewengan Diesel Subsidi


Hari ini Utusan Malaysia telah melaporkan laporan khas berkenaan penyelewengan diesel subsidi yang kian menjadi barah di dalam negara. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) harus bersifat terbuka dengan laporan berkenaan dan menjalankan siasatan yang rapi sekiranya dakwaan di dalam laporan khas berkenaan adalah benar. Perkara pokok yang dibangkitkan di dalam laporan khas berkenaan adalah KPDNKK dilihat masih belum melakukan sebarang pengauditan terhadap pemborong-pemborong yang sebelum ini didakwa sebahagian besar daripada mereka terlibat dalam sindiket penyelewengan bahan bakar tersebut. 

Ini perlu memandangkan pengauditan tersebut amat penting bagi mengelakkan pemborong yang tidak bertanggungjawab terus melakukan penyelewengan diesel bersubsidi. Apa yang dapat diperhatikan KPDNKK melalui Ops Titik hanya mampu menumpaskan sindiket-sindiket kecil sahaja. Kita tidak mahu ikan-ikan bilis tertangkap di jaring sedangkan jerung-jerung buas dilepas bebas ke lautan. Selagi pengauditan terhadap pemborong-pemborong tidak dilakukan dengan terperinci dan sistematik, adalah lebih baik KPDNKK tidak perlu beria-ia hendak memperkenalkan sistem baru yang dikatakan akan mampu mengekang penyelewengan diesel bersubsidi berkenaan. 

KPDNKK tidak perlu menyusahkan majoriti pengguna dengan satu sistem baru sedangkan minoriti penjenayah-penjenayah penyeludup diesel bersubsidi kemungkinan besar terdiri di kalangan pemborong-pemborong itu sendiri. Kita juga tertanya-tanya kenapakah sindikit diesel bersubsidi ini masih belum dapat dibanteras sepenuhnya. Bukan niat untuk menunding jari mahupun menyalahkan KPDNKK, tetapi apakah tidak mungkin maklumat dalaman dibocorkan atau ada kakitangan penguatkuasa kementerian yang tidak amanah ketika menjalankan tugas. Kalau perlu libatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membendung gejala ini, lakukan saja usaha memastikan usaha membanteras perbuatan yang diangap sabotaj kepada ekonomi negara itu benar-benar berjaya.

2 "Greener, Cleaner Penang" Ala Lim Guan Eng @cmlimguaneng @dapmalaysia



Ini gambar terbaru yang diambil pagi tadi di Sungei Emas di kawasan batu Feringgi yang sebelum ini dipalit konkroversi pencemaran sungai yang teruk. Lokasi gambar adalah bersebelahan dengan sebuah hotel 5 bintang, Lone Pine Hotel. Lihatlah keadaan sungainya yang hitam legam, penuh dengan sampah sarap dan kekotoran.



Gambar-gambar di atas pula diambil pagi semalam. Bertempat di Sungai Pinang juga di Pulau Pinang. Lihatlah bagaimana keadaan sungai yang tidak terurus dan penuh dengan sampah sarap. Inilah realiti keadaan "Heritage City" yang dianugerahkan oleh UNESCO di bawah kepimpinan Lim Guan Eng, DAP & Co. Masih ingatkan lagi kita dengan program yang dianjurkan oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang yang dinamakan "Greener, Cleaner Penang"? Inilah hasilnya!

9 Rara Ikon Wanita Muda Yang Cantik Menjadi Taruhan DAP Selepas Dyana Sofya


Sebagai sebuah parti yang berteraskan cauvinistme Cina, DAP bijak mengatur langkah untuk mengambil hati orang-orang Melayu yang merupakan penduduk majoriti di Malaysia. Setelah mereka hampir berjaya dengan formula yang mereka gunakan di PRK Teluk Intan dengan memperkenalkan gadis Melayu bernama Dyana Sofya, DAP tidak berpaling lagi. Formula yang sama akan turut digunakan pada masa hadapan.

Ini dapat dilihat melalui sessi pengenalan ahli baru DAP yang bernama Syefura Othman atau panggilan manjanya Rara. Satu ketika dahulu beliau dikenali sebagai gadis BERSIH. Beliau adalah penyelaras segmentasi wanita muda SAMM. Beliau tidak pernah menyertai mana-mana parti politik. Setelah lama memerhati, semalam beliau menyertai DAP. Bukan calang-calang gadis kalau Ahli Parlimen DAP Segambut, YB Lim Li Ping sendiri turun padang untuk menerima borang keahlian.

Pastinya Rara akan merupakan salah seorang calon yang bakal mewarnai PRU14 yang akan datang. Formulanya mudah, cantik, bertudung, berpelajaran pastinya tiket yang mudah untuk menarik pengundi-pengundi Melayu. Namun teringat kata-kata seorang sahabat CTS ketika PRK Teluk Intan, Rakyat hendak memilih Wakil Rakyat, bukannya Ratu Cantik.


June 26, 2014

1 Kenyataan Media SPAD - Penangguhan Penutupan Landasan KTM Sektor Gemas - Gua Musang

Bersama ini disertakan kenyataan media mengenai penangguhan penutupan landasan KTM Sektor Gemas - Gua Musang seperti berikut:












Dalam pada masa yang sama Kesatuan Pekerja-Pekerja KTMB turut mengeluarkan kenyataan menangguhkan piket yang dicadangkan diadakan pada petang ini di perkarangan Bangunan SPAD. Kita harapkan isu ini dapat diselesaikan dengan baik demi kepentingan semua pihak.

6 Warkah Terbuka Buat Dato Seri Hassan Malek


DATO SRI HASAN BIN MALEK
MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI, KOPERASI DAN KEPENGGUNAAN
ARAS 13 (MENARA), NO 13, PERSIARAN PERDANA, PRESINT 12
62623 PUTRAJAYA.

26 JUN 2014

PER: CADANGAN RASIONALISASI SUBSIDI BAHAN API 

Assalamualaikum WBT.

Dato Sri,

Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada Dato Sri kerana masih dikekalkan dalam Kabinet Malaysia walaupun sebelum ini terdapat banyak khabar angin yang menyatakan Dato Sri akan digugurkan.

Pengekalan Dato Sri dalam kabinet membuktikan Perdana Menteri mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap Dato Sri dalam menjalankan tugas-tugas sebagai menteri yang berkenaan.

Dato Sri, tujuan saya menulis surat ini bukannya mempunyai agenda yang tersurat atau tersirat, sebaliknya menyambut permintaan Dato’ Sri yang meminta pihak-pihak yang mempunyai cadangan berhubung program rasionalisasi subsidi minyak.

Sebagai seorang ahli UMNO yang bergiat aktif di media cyber saya merasa terpanggil untuk mengemukakan cadangan saya tanpa melibatkan sebarang kepentingan kepada saya. Atas sebab itu saya menghantar surat ini secara terbuka. Jika saya menghantarnya secara senyap-senyap saya bimbang akan dituduh menghantar kertas kerja atau projek yang akan melibatkan kepentingan kepada saya.

Dato Sri, laporan muka depan Utusan Malaysia 25.06.2014 memaparkan berita penyeledupan diesel turun 30 peratus. Tahniah diucapkan kepada KPDNKK atas usaha mereka menyelamatkan wang negara daripada mengalir kepada orang asing.

Namun persoalannya di sini, adakah penguatkuasaan hanya dilakukan secara bermusim sahaja?  Isu ini bukan baru. Ianya sudah berlarutan sekian lama.  Saban tahun rakyat dihidangkan dengan cerita penyelewengan subsidi bahan api. Tapi sampai bilakah ianya akan berakhir?

Adakah pegawai-pegawai penguatkuasa tidak menjalankan tugas mereka selama ini? Apabila isu timbul dan SPRM mengamuk barulah penguatkuasa mula tegas. Jika dalam sebulan dua ini penyeludupan dapat dikurangkan 30 peratus, bayangkan jika penguatkuasa bertegas sejak beberapa tahun lepas, tidakkah ianya telah mencapai tahap lebih dari 90% sekarang? Berapa billion wang negara telah dapat diselamatkan? Kegagalan ini berlaku kerana tidak ada ketegasan dan kejujuran pihak berkenaan dalam menjalankan tugas yang diamanahkan kepada mereka.

Sekarang ini rakyat dikhabarkan tentang program rasionalisasi subsidi minyak yang baru bakal diperkenalkan kerajaan untuk memastikan hanya golongan sasar yang benar-benar perlu sahaja dapat menikmati subsidi berkenaan.

Mengikut laporan Utusan Malaysia 25.06.2014 di muka surat 12, tahun 2013 kerajaan mengagihkan 18.6 bilion liter minyak bersubsidi. Namun didapati 6 bilion liter daripadanya digunakan oleh orang asing.

Masalah utama yang menyumbangkan kepada peningkatan subsidi minyak sekarang 3 perkara:

1. Penyeludupan
2. Kenderaan asing
3. Kenderaan mewah yang menggunakan minyak bersubsidi.

Pihak yang terlibat dengan 3 masalah ini bukannya terlalu besar jika nak dibandingkan dengan jumlah Rakyat Malaysia yang benar-benar layak mendapat subsidi kerajaan.

Kita difahamkan untuk mengatasi masalah-masalah ini kerajaan melalaui KPDNKK sedang mempertimbangkan beberapa cadangan. Antaranya memperkenalkan sistem belian minyak bersubsidi melalui MyKad, Kad Pintar, Kad Minyak 1Malaysia, Kad Subsidi, biometrik dan kupon atau tunai.

Apabila salah satu cadangan ini diterima pakai ianya akan menyusahkan puluhan juta rakyat dan kos untuk melaksanakannya juga tinggi kerana ianya melibatkan puluhan juta rakyat.

Lain yang bengkak lain yang bernanah. Masalah yang kita hadapi sekarang adalah dengan hanya beberapa kerat pihak yang menyalahgunakan subsidi minyak. Kenapa pula kita perlu susahkan puluhan juta yang lain yang tidak bersalah? Orang lain yang makan nangka orang lain yang kena getahnya.

Jika kita mempunyai pilihan untuk menyusahkan sedikit pihak dan mengeluarkan belanja yang sedikit, mengapa perlu kita menyusahkan banyak pihak dan perlu mengeluarkan belanja yang banyak?

Dato Sri, masalah GST tidak selesai lagi. Apabila GST berjalan nanti pasti seribu satu lagi masalah akan timbul dan tidak terkecuali sabotaj juga akan turut menjadi satu masalah yang bakal dihadapi kerajaan kelak. Kenapa pula kita nak tambah kesusahan dan kekeliruan rakyat dengan melaksanakan program rasionalisasi subsidi minyak yang baru? Kenapa kita nak cari masalah untuk memberi ruang kepada musuh memanipulasi keadaan? Bukankah lebih baik kita selesaikan satu persatu dengan lancar dulu?

Untuk mengatasi masalah penyalahgunaan subsidi minyak oleh tiga pihak itu beberapa langkah lain boleh dilaksanakan yang tidak perlu menyusahkan puluhan juta rakyat yang lain.

Masalah penyeludupan boleh dikurang atau diselesaikan dengan kaedah penguatkuasaan berterusan yang sedang dilaksanakan sekarang. Asalkan pegawai-pegawai penguatkuasa tegas dan jujur dalam melaksanakan tugas. Apabila mereka jujur dan tegas dalam menjalankan tugas dan dapat menyelamatkan wang negara, tugas dan peranan mereka perlu dihargai. Apa salahnya jika kejayaan mereka diiktiraf oleh kerajaan dengan pelbagai cara. Seperti kenaikan pangkat, kenaikan gaji, insentif khas, penganugerahan pingat dan sebagainya.

Salah satu kaedah yang boleh dilakukan dan untuk memudahkan kerja-kerja pendakwaan oleh penguatkuasa adalah dengan cara membezakan minyak bersubsidi dengan minyak tanpa subsidi. Ianya perlu dilakukan di depoh. Minyak ini boleh dibezakan dengan kaedah ‘tagging’. Indonesia juga sedang merancang untuk melakukan perkara ini. Dato’ Sri boleh membaca perkara berkenaan di sini.

Bagi masalah kenderaan asing dan kenderaan mewah yang menggunakan minyak bersubsidi, ianya boleh diselesaikan melalui pam-pam khas di stesen minyak dan komisyen jualan kepada operator stesen dinaikkan.

Sekarang ini komisyen jualan yang diperolehi oleh operator stesen adalah RM 0.11 per liter samada untuk RON95 atau RON97. Jadi apa mereka peduli jika kenderaan jenis apa sekalipun mengisi minyak RON95. Sebab komisyen mereka sama. Dengan menaikkan komisyen jualan mereka untuk RON97 pasti mereka tidak akan membenarkan kenderaan asing atau mewah mengisi minyak RON95. Dengan peningkatan komisyen itu juga dapat mereka gunakan untuk menggaji kakitangan tambahan atau keselamatan untuk melaksanakan tugas memeriksa kenderaan yang layak dapat subsidi atau tidak.  

Begitu juga dengan diesel. Sekarang operator stesen memperolehi komisyen jualan RM 0.06 per liter. Semua stesen minyak di negara kita sekarang hanya ada satu jenis diesel sahaja iaitu diesel bersubsidi. Subsidi yang dikeluarkan kerajaan pula adalah RM0.74 per liter. Kenderaan mana-mana negara sekalipun dapat menikmati diesel subsidi ini. 

Untuk mengatasi masalah ini pam diesel tanpa harga subsidi perlu diwujudkan di stesen-stesen minyak untuk kenderaan asing dan kenderaan mewah. Dan komisyen jualan untuk operator stesen juga lebih tinggi daripada komisyen diesel bersubsidi.

Ada juga rakyat negara kita yang menggunakan kenderaan jenama mewah tetapi ianya sudah berusia belasan atau puluhan tahun. Untuk golongan ini mereka perlu memohon dan diberikan kad subsidi khas untuk mereka layak mendapat minyak bersubsidi. Jumlah mereka pun bukannya ramai sangat. 

Untuk memudahkan kerja-kerja menyaring kenderaan yang layak mendapat minyak bersubsidi atau tidak di stesen-stesen minyak ianya boleh dilakukan dengan melihat cukai jalan. Perlu ada perbezaan cukai jalan antara kenderaan yang layak mendapat minyak bersubsidi atau tidak layak.

Mana-mana operator stesen yang melanggar peraturan itu perlu dikenakan tindakan tegas dengan serta merta. Pam mereka perlu disita sehingga perbicaraan selesai. Tiada amaran pertama, amaran kedua atau ketiga. Tindakan perlu tegas agar ianya menjadi pengajaran kepada operator-operator stesen lain.

Kempen-kempen kesedaran yang kreatif juga perlu diadakan dan berterusan untuk menyedarkan orang ramai tentang subsidi minyak yang mereka nikmati. Saya pernah lihat di Indonesia beberapa tahun lepas kain-kain rentang dengan ayat-ayat yang meruntum jiwa untuk menyedarkan rakyat mereka tentang subsidi minyak.

Yang penting penguatkuasaan jangan bermusim dan jangan sekadar hangat-hangat tahi ayam.

Dato Sri, laporan Utusan Malaysia 25.06.2014 menyiarkan kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr. Mohd Puad Zakarshi yang meminta kerajaan menolak penglibatan syarikat asing dalam program rasionalisasi subsidi ini. Dr. Mohd Puad mempunyai asas yang kukuh dalam kenyataan itu.

Apabila seorang ahli MT UMNO yang membuat kenyataan begitu, ianya telah memberi isyarat kepada rakyat bahawa syarikat asing tersebut telah hampir pasti akan dipilih. Jika perkara yang masih samar-samar atau khabar angina masakan seorang pemimpin tinggi UMNO berani membuat kenyataan sebegitu secara terbuka?

Dato Sri, usia Dato Sri sama dengan usia UMNO. Sama-sama dilahirkan pada tahun 1946. Jadi saya yakin Dato Sri lebih menyayangi UMNO lebih daripada orang lain sayang. Sudah tentu Dato Sri tidak mahu melihat UMNO rebah dan terkulai layu. Tetapi ada kalanya kuasa dan kedudukan boleh melalaikan kita. Ibu bapa pun manusia sanggup abaikan kerana kuasa dan kedudukan. Tetapi saya yakin Dato Seri tidak tergolong dalam jenis itu

Sebagai orang penuh dengan pengalaman Dato Sri buatlah yang terbaik untuk parti dan kerajaan Dato Sri sendiri. Buatlah perkara yang tidak menimbulkan kemarahan rakyat.  Jika kita berpeluang menyusahkan sedikit pihak, pilihlah jalan itu. Jangan kita mencari musuh dengan memilih jalan untuk menyusahkan banyak pihak.

Saya akhiri warkah ini dengan ungkapan ampun dan maaf kepada Dato Sri sekiranya ada mana-mana perkataan atau bahasa dalam surat ini yang mengguris hati Dato Sri. Maafkan saya. 

Sekian.

Yang Benar,

M. Faisal R. Ahmad
Shah Alam Selangor

Facebook- Sheikh Faisal

Kemaskini 12.00 PM:

Kakitangan KPDNKK sudahpun menerima mesej di atas. CTS 'print screen' jawapan mereka di laman sosial Twitter:

7 CEO Petronas Bongkak! Lupa Sejarah Petronas


Ketua pegawai eksekutif (CEO) Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Tan Sri Shamsul Azhar Abbas dengan nada bongkak berkata: "Akta Pembangunan Petroleum (PDA) menyebutkan dengan jelas minyak dan gas adalah milik semua rakyat Malaysia. Ia menyebut rakyat Malaysia, jadi ia boleh milik kerajaan, boleh juga kepada pembangkang, dan sesiapa sahaja. Kami (Petronas) ini adalah penjaga," katanya dalam wawancara eksklusif akhbar perniagaan mingguan berbahasa Inggeris, The Edge keluaran 23-29 Jun, 2014. Amat pelik dan dangkal apabila CEO Petronas tidak memahami bahawa Petronas dan minyaknya adalah milik Perbendaharaan Negara. Setiap Perbendaharaan Negara akan dijaga oleh Kerajaan yang memerintah dan bukannya orang yang menguruskan Perbendaharaan itu. 

Kontroversi CEO Petronas bukannya baru. Kita sampai bila tidak akan lupa bagaimana beliau mengkhinati kontraktor Melayu besar-besaran, mengkhianati bangsa Melayu dengan memberikan kontrak kepada besar dan kecil kepada bangsa asing. Waima untuk bekalkan nasi lemak kepada stesyen minyak juga di berikan kepada Cina Singapura sehingga kakak-kakak ibu tunggal hilang pendapatan yang tak seberapa untuk duit belanja anak. CTS dengar CEO Petronas adalah erupakan ahli PKR Cabang Shah Alam? Betulkah?

Beliau dengan bongkak lagi berkata, "“Petronas perlu membentuk diri menjadi organisasi profesional, tetapi pada masa sama saya ditarik dalam politik, campur tangan pihak berkepentingan, oleh agenda yang ketinggalan zaman,". Satu perkara yang CEO Petronas terlepas pandang ialah memperlekehkan penglibatan orang-orang politik untuk campur tangan di Petronas. Tidak kiralah orang politik di pihak Kerjaaan atau di pihak Pembangkang kerana apa-apa isu Petronas perlu dibawa ke Parlimen oleh orang politik. Untuk menjawab segala isu Petronasadalah orang politik, sama ada ianya Perdana Menteri, Menteri atau Timbalan Menteri dan bukannya CEO Petronas perlu hadir ke Parlimen untuk menjawabnya. Dengan mengaitkan Petronas tidak boleh di campuri oleh orang politik menunjukan kebodohannya yang amat terserlah.

June 25, 2014

0 PM @NajibRazak Hanya Umum Tambahan Anggota Kabinet, Tiada Rombakan, The Malaysian Insider Malu Besar




The Malaysian Insider hari ini malu besar, apabila cuba mendahului beritanya tentang rombakan kabinet, kononnya dua Menteri, Datuk Hassan Malek dan DS Jamil Khir Baharom digugurkan daripada kabinet. Apa yang berlaku sebenarnya tiada rombakan kabinet. Perdana Menteri, DS Najib Tun Abdul Razak hanya mengumumkan pertambahan anggota kabinet seperti di bawah. Ianya membabitkan lima pemimpin MCA dan satu dari Gerakan iaitu Dato Mah Siew Kong.

1) Liow Tong Lai – Menteri Pengangkutan

2) Mah Siew Kong – Menteri Jabatan Perdana Menteri

3) Wee Ka Siong – Menteri Jabatan Perdana Menteri

4) Lee Chee Leong – Timbalan Menteri Perdagangan, Antrabangsa dan Industri.

5) Chua Tee Yong – Timbalan Menteri Kewangan

6) Chew Mei Fun – Timbalan Menteri Wanita, Keluarga & Pembangunan Komuniti

Tidak perlu dicari berita The Malaysian Insider seperti di atas kerana ianya telah dibuang. Diharap The Malaysian Insider akan lebih menjaga etika media. Kerana berita di laman ini, telah didelete. Sumber mana yang mereka rujuk jika ianya benar? Link sebelum dibuang - http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/rombakan-kabinet-hassan-malek-dan-jamil-khir-antara-digugurkan.

Ini barisan penuh Kabinet Malaysia 2014.


June 24, 2014

5 Kes Penculikan Di Puchong Hari Ini - Salah Penculik Atau Ibu Bapa Yang Cuai?


Hari ini media sosial dikejutkan dengan cerita kereta seorang Ustazah di Sekolah KAFA Intergrasi Madrasatul Ikhwan, Puchong Perdana yang dibawa lari oleh seorang lelaki yang tidak dikenali. Di dalam kereta Proton Gen2 warna biru, yang enjinnya tidak dimatikan terdapat seorang kanak-kanak berumur 9 tahun dengan seorang bayi berumur 3 bulan. Kereta mangsa diletakkan di hadapan rumah pengasuh di Jalan Dahlia, pukul 7.10 pagi tadi dengan kedua-dua kanak-kanak dan bayi berkenaan masih tidur. Syukurlah kedua-dua kanak-kanak dan bayi berkenaan ditinggalkan oleh suspek penjenayah berkenaan tanpa diapa-apakan di kawasan kilang perindustrian di Bukit Puchong. Bersyukurlah seorang lelaki Melayu yang prihatin menghantar semula kedua-dua kanak-kanak dan bayi tersebut ke sekolah berkenaan semula sejam selepas kes penculikan berlaku.

Ini tragedi kisah masyarakat yang tidak patut berulang. Tinggalkan anak-anak di dalam kereta yang tidak dimatikan enjin bagi CTS adalah satu jenayah. Pernah terjadi beberapa tahun lepas, CTS telah menjumpai dua kanak-kanak lelaki dan perempuan ditinggalkan di dalam sebuah kereta SUV dengan enjin yang masih hidup. Puas CTS menunggu sehingga 10 minit kerana tidak sampai hati membiarkan kedua-dua kanak-kanak itu di situ, takut-takut berlaku sesuatu yang tidak diingini. Sakitnya hati melihat seorang wanita gaya Mak Datin berlenggang menuju ke kereta. Apabila kita menegurnya, dimarahnya kita kembali. Katanya, jangan suka menjaga tepi kain orang. 

Inilah masalahnya masyarakat Malaysia. Bukan mereka kisah untuk mengambil langkah pencegahan untuk mengelak jenayah, tapi lebih suka menghebohkan perkara-perkara selepas berlakunya kejadian jenayah. Jenayah boleh dielakkan sekiranya tiada ruang diberikan kepada penjenayah untuk melakukan kegiatan jenayah. Janganlah selepas kita cuai dengan menggalakkan kejadian jenayah, barulah kita sibuk salahkan Kerajaan, salahkan Polis, salahkan masyarakat dan salahkan penjenayah. Ibu bapa sebegini sepatutnya disumbatkan ke penjara seperti kes di Sweden kerana cuai. 

3 Wajarkah Foto Kucing Ditanam Dipilih Sebagai Pemenang? cc. DS @NajibRazak


Amat tidak masuk akal apabila foto di atas yang mengambarkan seekor kucing yang ditanam atau ditimbus seluruh badan dikelilingi 3 budak 'nakal' telah dipilih sebagai pemenang pertandingan foto oleh akhbar Harian Metro. Harian Metro pada Isnin melalui sisipan Variasi mempamerkan gambar tiga kanak-kanak beraksi dengan wajah kelakar bersama seekor kucing yang ditimbus dengan pasir sehingga ke paras kepala. Pertandingan tersebut mengkehendaki peserta menghantar foto yang mempunyai nilai berita dan pemenang diberikan RM50 dalam bentuk kredit.

Sudah hilangkan nilai-nilai kemanusiaan sehingga kreativiti telah diangkat melebihi norma-norma kehidupan itu sendiri? Mungkin panel pemilih pemenang Harian Metro pada masa akan datang dapat lebih prihatin dengan situasi sebegini kerana ianya boleh mengundang kontroversi terutama kepada peminat-peminat kucing serta pencinta haiwan. Perdana Menteri kita sendiri seorang yang sayangkan kucing. Gambar-gambar beliau bersama kucing jauh lebih terkesan dan bermakna daripada gambar 'kejam' seperti di atas.



June 22, 2014

0 SPAD & KTM Konsensus Landasan Keretapi Gemas - Gua Musang Perlu Ditutup Sementara Untuk Pembaikan

Lawatan kepada pihak media yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Keretapi Tanah Melayu (KTM), hari ini telah memberi keyakinan kepada semua pihak bahawa sudah sampai masanya landasan keretapi yang menghubungkan Gemas - Guang Musang ditutup sementara untuk kerja-kerja pembaikan. Sayugia diingatkan bahawa landasan Gemas - Gua Musang adalah antara landasan tertua di Malaysia. Kerajaan melalui Unit Perancangan Ekonomi (EPU) telahpun meluluskan peruntukan sebanyak RM400 juta untuk pembaikan landasan keretapi dari Gemas ke Gua Musang.

Hasil tinjauan CTS dijangka lebih kurang 14 jam hari ini dari Stesen Wakaf Baru sehingga ke KL Sentral, bersama media yang terdiri daripada TV3, RTM, akhbar The Star dan Berita Harian telah memberi gambaran jelas betapa seriusnya kedaifan beberapa tempat landasan keretapi berkenaan. Terdapat 11 tempat kritikal yang perlukan pembaikan segera. Keadaan landasan keretapi yang uzur seperti batang besi landasan yang tidak selari dan sudah haus, beberapa besi penyokong landasan yang patah serta kayu balak penyokong yang telah reput dan patah, memerlukan landasan berkenaan ditutup sementara untuk pembaikan. Apa yang lebih utama, landasan ini telahpun melangkaui tempoh usia landasan selama 30 tahun. Landasan keretapi ini kali terakhir dinaiktaraf pada tahun 1981.

Walaupun penutupan landasan keretapi Gemas - Gua Musang mungkin memberi sedikit ketidakselesaan kepada pengguna keretapi, pihak KTM akan mengambil langkah sewajarnya dengan mengadakan bas-bas perantaraan untuk stesen-stesen yang ditutup. Keselamatan pengguna seharusnya menjadi satu prioriti yang tidak boleh diambil remeh. Kita pastinya tidak mahu lagi insiden kemalangan yang seperti gerabak keretapi terbabas yang berlaku kembali berulang.

Gambar-gambar di bawah diambil di stesen Kemubu. Jambatan ini perlu dinaiktarafkan dengan segera kerana jambatan yang dinamakan MR Wheelbridge ini sudah terlalu usang dan banyak kerosakan.


Gambar-gambar di bawah diambil di antara kawasan Merapoh dan Cegar Berah. Dari tahun 2012 sehingga 2014, sebanyak 13 kes gerabak tergelincir berlaku di kawasan ini.

 

Cucu Tok Selampit Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates