June 22, 2014

0 SPAD & KTM Konsensus Landasan Keretapi Gemas - Gua Musang Perlu Ditutup Sementara Untuk Pembaikan

Lawatan kepada pihak media yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Keretapi Tanah Melayu (KTM), hari ini telah memberi keyakinan kepada semua pihak bahawa sudah sampai masanya landasan keretapi yang menghubungkan Gemas - Guang Musang ditutup sementara untuk kerja-kerja pembaikan. Sayugia diingatkan bahawa landasan Gemas - Gua Musang adalah antara landasan tertua di Malaysia. Kerajaan melalui Unit Perancangan Ekonomi (EPU) telahpun meluluskan peruntukan sebanyak RM400 juta untuk pembaikan landasan keretapi dari Gemas ke Gua Musang.

Hasil tinjauan CTS dijangka lebih kurang 14 jam hari ini dari Stesen Wakaf Baru sehingga ke KL Sentral, bersama media yang terdiri daripada TV3, RTM, akhbar The Star dan Berita Harian telah memberi gambaran jelas betapa seriusnya kedaifan beberapa tempat landasan keretapi berkenaan. Terdapat 11 tempat kritikal yang perlukan pembaikan segera. Keadaan landasan keretapi yang uzur seperti batang besi landasan yang tidak selari dan sudah haus, beberapa besi penyokong landasan yang patah serta kayu balak penyokong yang telah reput dan patah, memerlukan landasan berkenaan ditutup sementara untuk pembaikan. Apa yang lebih utama, landasan ini telahpun melangkaui tempoh usia landasan selama 30 tahun. Landasan keretapi ini kali terakhir dinaiktaraf pada tahun 1981.

Walaupun penutupan landasan keretapi Gemas - Gua Musang mungkin memberi sedikit ketidakselesaan kepada pengguna keretapi, pihak KTM akan mengambil langkah sewajarnya dengan mengadakan bas-bas perantaraan untuk stesen-stesen yang ditutup. Keselamatan pengguna seharusnya menjadi satu prioriti yang tidak boleh diambil remeh. Kita pastinya tidak mahu lagi insiden kemalangan yang seperti gerabak keretapi terbabas yang berlaku kembali berulang.

Gambar-gambar di bawah diambil di stesen Kemubu. Jambatan ini perlu dinaiktarafkan dengan segera kerana jambatan yang dinamakan MR Wheelbridge ini sudah terlalu usang dan banyak kerosakan.


Gambar-gambar di bawah diambil di antara kawasan Merapoh dan Cegar Berah. Dari tahun 2012 sehingga 2014, sebanyak 13 kes gerabak tergelincir berlaku di kawasan ini.

0 comments:

 

Cucu Tok Selampit Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates