June 27, 2014

1 KPDNKK Wajib Bertindak Berdasarkan Laporan Khas Utusan Malaysia Mengenai Penyelewengan Diesel Subsidi


Hari ini Utusan Malaysia telah melaporkan laporan khas berkenaan penyelewengan diesel subsidi yang kian menjadi barah di dalam negara. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) harus bersifat terbuka dengan laporan berkenaan dan menjalankan siasatan yang rapi sekiranya dakwaan di dalam laporan khas berkenaan adalah benar. Perkara pokok yang dibangkitkan di dalam laporan khas berkenaan adalah KPDNKK dilihat masih belum melakukan sebarang pengauditan terhadap pemborong-pemborong yang sebelum ini didakwa sebahagian besar daripada mereka terlibat dalam sindiket penyelewengan bahan bakar tersebut. 

Ini perlu memandangkan pengauditan tersebut amat penting bagi mengelakkan pemborong yang tidak bertanggungjawab terus melakukan penyelewengan diesel bersubsidi. Apa yang dapat diperhatikan KPDNKK melalui Ops Titik hanya mampu menumpaskan sindiket-sindiket kecil sahaja. Kita tidak mahu ikan-ikan bilis tertangkap di jaring sedangkan jerung-jerung buas dilepas bebas ke lautan. Selagi pengauditan terhadap pemborong-pemborong tidak dilakukan dengan terperinci dan sistematik, adalah lebih baik KPDNKK tidak perlu beria-ia hendak memperkenalkan sistem baru yang dikatakan akan mampu mengekang penyelewengan diesel bersubsidi berkenaan. 

KPDNKK tidak perlu menyusahkan majoriti pengguna dengan satu sistem baru sedangkan minoriti penjenayah-penjenayah penyeludup diesel bersubsidi kemungkinan besar terdiri di kalangan pemborong-pemborong itu sendiri. Kita juga tertanya-tanya kenapakah sindikit diesel bersubsidi ini masih belum dapat dibanteras sepenuhnya. Bukan niat untuk menunding jari mahupun menyalahkan KPDNKK, tetapi apakah tidak mungkin maklumat dalaman dibocorkan atau ada kakitangan penguatkuasa kementerian yang tidak amanah ketika menjalankan tugas. Kalau perlu libatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membendung gejala ini, lakukan saja usaha memastikan usaha membanteras perbuatan yang diangap sabotaj kepada ekonomi negara itu benar-benar berjaya.

1 comments:

usin said...

Sebelum dikekalkan dlm kabinet, kemain hebat menteri kpdnkk buat show. Benteras sana serbu sini dan segala bagai operasi. Dh kekal dlm kabinet jgn dok diam saja. Ni dh nk masuk bulan ramadhan dan akan datang shawal pulak. Jaga dan pantau kenaikan barang mentah dan makanan. Jgn sampai 'ayam' lekat pd nama pulak ye...

 

Cucu Tok Selampit Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates