September 11, 2013

0 SPAD - Rundingan Projek Kereta Api Kelajuan Tinggi Dijangka Selesai Pada Suku Ketiga Dan Keempat 2014


Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mahu menyelesaikan rundingan projek kereta api laju sejauh 330 kilometer antara Kuala Lumpur-Singapura pada suku ketiga atau keempat tahun depan. Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Nur Ismail Mohamed Kamal berkata rundingan antara SPAD dan pihak berkuasa di Singapura bermula bulan depan.

"Kami baru memulakan proses berhubung dengan pihak Singapura," katanya pada taklimat media selepas pelancaran Persidangan dan Pameran Antarabangsa Perniagaan Rel Asia 2013 di sini Selasa oleh Perdana Menteri, DS Najib Tun Razak.

Apabila siap, projek itu dijangka dapat mengurangkan masa perjalanan antara kedua-dua negara kepada 90 minit serta meningkatkan ekonomi dan hubungan sesama penduduk. Dalam perkembangan lain, Pengerusi SPAD TS Syed Hamid Albar berkata masih terlalu awal untuk membuat keputusan mengenai bagaimana dan bila projek jajaran kedua dan ketiga MRT dijalankan.

Beliau berkata suruhanjaya itu telah melakukan semua kajian yang diperlukan untuk projek berkenaan. Namun katanya tidak sepatutnya ada jurang antara pembinaan semasa MRT Sungai Buloh-Kajang, yang dijadualkan siap pada 2016, dan jajaran kedua dan ketiga MRT.

"Kita tidak boleh menyiapkan projek MRT pertama dan berhenti. Kita berharap tiga empat tahun akan datang jajaran kedua dan ketiga MRT dapat dilaksanakan," katanya. SPAD dilaporkan sedang menyediakan kertas kerja landasan baharu - jajaran MRT kedua dan ketiga yang akan dibentangkan kepada kerajaan untuk kelulusan.

0 comments:

 

Cucu Tok Selampit Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates