Al Fatihah Buat Allayarham Noramfaizul Mohd Nor
Penulis ingin merakamkan takziah kepada keluarga Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor, jurukamera BERNAMA TV yang terkorban di Somalia pada Jumaat lepas. Kita mengharapkan semua pihak agar berhenti menunding jari ke atas sebab musabab permergian Allahyarham. Hidup dan mati adalah ketentuan Allah. Kalau ajal sudah sampai, di atas tilam waima sekalipun kita akan kembali mengadap Ilahi. Namun, banyak pengajaran berguna yang dapat kita pelajari dari isu ini:
1. Jaket Kalis Peluru (Bulletproof Vest)
Juak-juak Pakatan Haram sama ada di laman-laman portal akhbar "online" maupun laman-laman sosial mempertikaikan anggota-anggota sukarelawan Misi Kemanusiaan Kelab Putera UMNO ke Somalia tidak dibekalkan dengan jaket kalis peluru. Persoalannya, apakah jaket kalis peluru jalan penyelesaiannya untuk mengelakkkan tragedi yang sama dari berulang? Kelvar (bulletproof vest) hanya dapat menahan senjata api yang ringan dan bukannya kebal dari senjata yang selalu digunakan oleh pihak militan seperti AK47, .50 cal machineguns dan sebagainya. Di Somalia, letaklah setebal atau seteguh mana jaket kalis peluru. Kalau puak militan Somalia yang bertelagah menggunakan bazooka atau lain-lain letupan seperti bom tangan dan sebagainya, tidakkah berkecai badan dibuatnya. Pak Menteri pun agak-agaklah hendak membuat kenyataan media. Janganlah buat kenyataan macam budak sekolah. Sekurang-kurangnya buatlah kajian sedikit.
2. Persediaan Yang Cukup
Untuk membuat liputan sesuatu misi terutama yang melibatkan negara yang bergolak dan berperang, persediaan yang cukup diperlukan. "Standard Operating Procedures (SOP) yang lengkap diperlukan selain langkah-langkah keselamatan dan disiplin yang ketat. Agak malang penulis mendapat tahu bahawa tiada SOP dibekalkan kepada para wartawan dan masa yang singkat juga diberikan kepada wartawan dan 'sukarelawan'. Walaupun Allahyarham merupakan seorang yang berpengalaman dan pernah terlibat dalam misi di Gaza, latihan yang cukup dan SOP yang lengkap tetap diperlukan.
3. Pihak Yang Menguruskan Misi Bantuan
Penulis tidak berhajat untuk menunding jari sama ada kepada pihak Kelab Putera UMNO maupun kepada Datuk Azeez sendiri yang mengetuai misi kemanusiaan ini. Tragedi boleh berlaku di mana-mana dan semua pihak hendaklah mengambil ikhtibar daripadanya. Namun penulis berpendapat, untuk misi-misi kemanusiaan ke negara-negara bergolak dan berperang seperti di Somalia, biarlah pihak-pihak yang arif dan pakar seperti Angkatan Tentera Malaysia mengetuai misi berkenaan dan bukan orang awam seperti kita yang tidak tahu selok belok suasana peperangan. Penulis tetap berpendapat, tidak perlu membawa wartawan, jurukamera serta bloggers kalau setakat misi hendak menghantar barang makanan. Pihak ATM sendiri dapat menguruskan misi ini dengan lebih effisyen.
4. Pengiktirafan Sewajarnya Kepada Semua Pihak Yang Berjuang
Penulis tidaklah mahu mengulas sambutan yang luar biasa diberikan kepada 'sukarelawan' Kelab Putera UMNO yang pulang ke tanahair hari ini. Mungkin sambutan yang luar biasa ini mungkin ada kaitan dengan tujuan untuk menyambut jenazah Allahyarham Noramfaizul, sehinggakan Perdana Menteri, DS Najib yang sedang menjalani "intensive therapy" di Perth sekalipun 'terpaksa' pulang ke tanahair. Semua pihak mahu mengambil kredit dari peristiwa ini baik pihak Kerajaan maupun pihak pembangkang. Namun biarlah sambutan yang diberikan berpada-pada. Penulis tidak pernah mendengar atau membaca di akhbar, kumpulan-kumpulan Mercy Malaysia yang terlebih dahulu bertugas di Somalia dan telah bertugas sekian lama diberikan publisiti yang meluas sebegini rupa. Apakah 'the unsung heroes' ini dipinggirkan memandangkan mereka tidak memberikan keuntungan kredit kepada pihak-pihak yang berkenaan? Penulis mengesa, selepas ini mana-mana kumpulan Mercy Malaysia yang kembali dari melakukan tugasan mereka di Somalia diberikan layanan dan penghormatan yang sama. Mereka juga adalah hero di mata saya.
Kesimpulannya, kita tidak tahu apakah misi kemanusiaan yang dilakukan oleh Kelab Putera UMNO benar-benar memberi impak positif dari aspek kemanusiaan kepada Somalia. Esok hari, Rakyat Somalia masih lagi kebuluran, negara mereka masih lagi bergolak dan berperang, serangan penyakit dan kematian berlaku saban hari. Jadi tidak perlulah publisiti yang berlebihan (exxagerate) diberikan kepada mana-mana pihak yang kononnya ingin membantu Rakyat Somalia. Biarlah kita mencontohi usaha berterusan yang dilakukan oleh sukarelawan-sukarelawan sejati seperti Mercy Malaysia yang bekerja secara diam dan teratur tanpa perlu mendapat publisiti berlebihan.