Bersempena dengan Hari Jumaat di bulan Ramadhan yang berkat ini, penghulu segala hari, CTS ingin merakamkan sekalung tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan buat petugas-petugas Jabatan Agama seluruh negara, khususnya ditujukan buat petugas-petugas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di atas sumbangan mereka dalam menegakkan Islam di Malaysia tanpa rasa jemu. CTS yang pernah menyertai operasi-operasi cegah maksiat dan kemungkaran bersama-sama petugas-petugas JAWI dan JAIS, arif benar dengan tanggungjawab dan beban serta risiko yang dipikul di bahu pegawai-pegawai berkenaan.
Bukan mudah dan senang bagi pegawai-pegawai yang berpendapatan seribu dua untuk berembun dan berhujan, bersengkang mata demi memastikan daging pejal anak-anak gadis remaja tidak diratah oleh lelaki-lelaki bangsat, anak-anak muda Islam tidak terjebak di dalam ketagihan alkohol, menyertai ajaran sesat, murtad dan sebagainya. Pengorbanan ini mungkin kecil bagi sesetengah orang, namun CTS amat mengkagumi dan menyanjung tinggi usaha mereka untuk menegakkan Agama Islam di tanahair tercinta ini.
Berbalik kepada isu JAIS melakukan pemeriksaan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama di Petaling Jaya dua hari lepas, tindakan ini dilakukan kerana terdapat aduan dari orang ramai dan terdapat bukti kegiatan penyebaran Agama bukan Islam terhadap penganut Islam dilakukan di gereja tersebut. CTS menyokong sepenuhnya tindakan tersebut. Penulis juga ingin memberikan kredit dan menyokong penuh EXCO Agama Selangor, Datuk Dr Hassan Ali di atas kenyataannya mempertahankan petugas-petugas JAIS.(Baca di sini).
Dalam konteks isu di atas, terdapat dua situasi yang boleh dipolemikkan oleh orang ramai terutamanya ahli-ahli politik. Pertama, tindakan petugas-petugas JAIS berkenaan adalah semata-mata berdasarkan faktor mempertahankan Agama Islam berdasarkan Perlembagaan Negara. Keduanya adalah faktor politik. Ini memandangkan JAIS berada di bawah kuasa Kerajaan Negeri Selangor dan di bawah kelolaan EXCO Agamanya, Datuk Dr Hassan Ali. Bagi seseorang yang tidak berfikiran waras, faktor kedua akan diambil sebagai pemberat memandangkan bila lagi hendak menghentam Kerajaan Pakatan Rakyat, ye tak?
Bagi CTS, faktor Agama sekali-kali tidak boleh diatasi dengan faktor politik. Jangan fikirkan pendapat ahli politik. Mereka ini sibuk berpolitik 24 jam jam sehari 7 kali seminggu. Sehinggakan sekiranya ada kucing yang mati di tengah jalan, masing-masing akan bertelagah siapa salah dan siapa benar. BN kah atau PR kah? Bagi CTS, isu petugas-petugas JAIS adalah hal Agama Islam. CTS peduli apa JAIS berada di bawah Kerajaan BN atau Kerajaan PR. Yang pentingnya, mereka menguatkuasakan undang-undang Islam. Pegawai-pegawai JAIS ini menjalankan tugas mereka kerana Allah, Lillahhitaala, dan bukannya untuk mendapat sanjungan atau penghargaan seperti peserta-peserta BERSIH 2.0 tempoh hari, siap dapat watikah penghargaan gitu.
CTS juga berfikir dakwaan gereja berkenaan memberi alasan menganjurkan makan malam 1Malaysia di situ. Apa kejadahnya jamuan makan malam 1Malaysia diadakan di gereja. Apa kejadahnya jamuan makan di gereja diadakan pada bulan Ramadhan? Kalau benarpun hendak mengadakan majlis "charity" atau kebajikan, tidak bolehkan diadakan di tempat terbuka seperti dewan orang ramai dan sebagainya yang tidak menimbulkan fitnah?
Umat Islam harus sedar, kegemilangan Islam di Malaysia bukanlah dengan membiarkan bukan Islam bertempik melaungkan ayat-ayat Al Quran di dalam ceramah-ceramah, bukan dengan membiarkan hadis-hadis dimainkan dan dipetik sesuka hati tanpa roh dan penghayatan oleh bukan Islam di Sidang DUN, bukan dengan membiarkan bukan Islam berceramah di dalam masjid, bukan dengan berbangga dengan ADUN-ADUN bukan Islam mensedekahkan kurma untuk berbuka ...
... dan bukan juga membiarkan ADUN bukan Islam mempersendakan amalan bersahur dan berpuasa di bulan Ramadhan.
Perlembagaan Malaysia jelas memperuntukan bahawa Agama Islam adalah Agama Rasmi Kebangsaan. Walau bagaimanapun, bangsa lain bebas untuk mengamalkan agama mana yang mereka sukai. Namun, perlembagaan juga mengariskan kebebasan beragama bukanlah sehingga membolehkan penganut Agama lain berdakyah dan menyeru Umat Islam ke arah menganuti dan mengikuti ajaran Agama mereka. Prinsip CTS mudah, "Bagiku Agamaku dan bagimu Agamamu."








