Ramai yang bertanyakan kemanakah CTS menghilangkan diri sejak 4-5 hari lepas? Sebenarnya tidak ke mana-mana. Sekadar menyepikan diri apabila video seks kononnya Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim dimainkan saban waktu, setiap detik dan waktu. Blogger-blogger UMNO dan BN begitu ghairah menyiarkan video-video berkenaan dalam pelbagai versi, ada yang dua minit, 20 minit dan ada video yang memaparkan sepenuhnya apa yang berlaku dalam bilik berkenaan.
Setiap blog sejak 4 - 5 hari lepas memainkan isu berkenaan dan tiada isu lain penting lagi. Rating blog yang memainkan isu lucah berkenaan naik mencanak-canak. Tiada isu lain yang perlu dikupas sebab Rakyat Malaysia terutama pencinta blog dan portal maya begitu dahagakan berita-berita sensasi dan video-video lucah terutama video berkenaan sehingga diperkatakan di setiap pelusuk negeri dan negara. Nasib baiklah siaran Media Prima tidak terikut-ikut dengan blog-blog yang berkenaan mempromosikan video lucah secara terang-terangan di siaran kaca TV, dengan menyiarkan keseluruhan kandungan video seks berkenaan. Kalau tidak bagaimanakah ibu bapa dan penjaga kanak-kanak hendak menerangkan kepada anak-anak masing masing tentang kandungan video lucah berkenaan.
Saya tidak menyalahkan blogger-blogger BN kerana memainkan isu video lucah ini dengan begitu teruja sekali. Kita tidak boleh salahkan mereka, kerana masyarakat Malaysia umumnya lebih berminat isu-isu lucah, gossip, bogel dan sebagainya. Blogger-blogger juga mahukan rating blog yang tinggi. Apabila isu video lucah yang kononnya pelakonnya merupakan Ketua Umum PR, maka berduyun-duyun posting dikeluarkan semata-mata mahu menjadi glamour dan terkenal. Tidakkah kita terfikir, blooger-blogger BN dan UMNO terlalu mainkan isu ini sehinggakan ianya bakal memakan diri parti pemerintah BN sendiri? Dalam bahasa English dipanggil "overkill issues?"
Apa yang akan berlaku selepas ini? Tiada siapa dapat mengesahkan Anwar Ibrahim merupakan pelakon dalam video seks tersebut. Pihak polis masih lagi berdiam diri. Masing-masing baik bloggers, wakil media, ahli politik dan Rakyat Biasa mempunyai pendapat dan analisis mereka sendiri. Namun, dari pengamatan penulis, blogger-blogger mesra Kerajaan telah "overkill" isu ini. Kenapakah saya mengatakan sedemikian. Apa yang berlaku selepas 4 - 5 hari video penuh berkenaan dimainkan? Apakah PR sudah berpecah? Apakah PKR sudah dibubarkan? Bagi penulis "political mileage" akan berpihak kepada Anwar Ibrahim. Anwar Ibrahim, walaupun selepas ini akan didapati merupakan pelakon di dalam video berkenaan, secara amnya kita tidak nampak riwayat politiknya akan berakhir. Jangan terlalu mudah kita membuat kesimpulan. Politik adalah berdasarkan kepada persepsi. Tiada benar dan tiada salah. Pergilah kemana-mana ceruk rantau. Masyarakat akan mengatakan bahawa Anwar Ibrahim adalah mangsa politik. Saya pulang ke kampung sejak beberapa hari lepas. Ramai orang-orang kampung masyarakat marhaen memberi pendapat bahawa mereka tahu Anwar Ibrahim bersalah dan Rakyat juga tahu. Tapi janganlah membenamkan beliau sehingga beliau tidak bernafas, kata mereka.
Anwar Ibrahim telah mendapat satu keuntungan daripada propaganda video seks yang tidak kenal letih daripada rakan-rakan bloggers dan media iaitu kemenangan simpati. Setuju atau tidak Anwar telah mendapat perasaan simpati daripada Rakyat. Ini bukan saya kata, cuba lihat apa yang berlaku di ceramah Anwar Ibrahim dan Dato'Nik Aziz di Padang Majlis Daerah Machang, Kelantan pukul 9.00 malam, 30 April lepas. Ribuan Rakyat hadir untuk menyaksikan Anwar Ibrahim berucap. Tanpa dibawa dengan bas, tanpa digula-gulakan dengan buah tangan, tiada makan percuma atau dijanjikan sesuatu, Rakyat dari setiap pelusuk datang mendengar ceramah Anwar Ibrahim, walaupun saya yakin hampir kesemua dari mereka saya pasti telah menonton video berkenaan. Sebab apa? Inilah kemenangan simpati Anwar Ibrahim kesan dari isu yang dimainkan sehinggakan memakan diri.



Saya mahu pembaca-pembaca saya berfikir walaupun saya tahu, pembaca-pembaca blog lebih suka isu sensasi dan bukannya mahu berfikir. Apabila Dato' Eskay bersumpah hari Jumaat lepas, heboh satu Malaya, walaupun kita tahu orang yang bersumpah itu masih belum meninggalkan kehidupan minum minuman keras dan kaki perempuannya. Satu Malaya heboh Anwar Ibrahim sudah kena "checkmate". Cuba bayangkan, saya kata cuba bayangkan, apa yang akan berlaku sekiranya dua hari sebelum Pilihanraya Umum ke 13 akan datang, Anwar Ibrahim muncul di sidang akhbar sambil mengatakan, "Wallahi, Wabillahi, Watallahi, Saya Anwar bin Ibrahim, bukanlah merupakan pelakun di dalam video seks yang dituduh kepada saya." Agak-agak tuan-tuan, kemanakah undi Rakyat Marhaen? Kesimpulannya, jangalah kita menganggap politik Anwar Ibrahim kecil anak dan boleh dibuli. Berhati-hatilah dengan segala permainan politik dan jangan terlalu yakin diri dengan strategi kita. Segalanya berkemungkinan di dalam politik! Wallahualam.