
Dato Zaid Ibrahim memang terkenal dengan cakap lepas. Dalam bahasa Utara dipanggil mulut tak dak insuran. Ketika bersama dengan UMNO, beliau kerap mengkritik kepimpinan parti itu sehinggakan ramai yang tidak terkejut apabila beliau meninggalkan UMNO untuk menyertai PKR. Sikapnya yang lepas cakap seringkali mengundang masalah dan kontroversi buat dirinya.
Sekarang di dalam PKR, beliau sudah menampakkan tanda-tanda yang sama. Di awal penyertaannya ke dalam parti PKR, beliau telah dianggap hero dan pembela. Nasibnya sudah mulai muram apabila beliau dengan tidak sabar menyatakan hasrat untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR, jawatan nombor 2 tertinggi parti. Sejak dari saat itu, gelaran hero dan pembela sudah hilang. Beliau kini dianggap pembelot dan musuh di dalam selimut di kalangan penyokong dan pemimpin PKR. Ini gara-gara hasrat beliau untuk bertanding melawan orang kesayangan DS Anwar Ibrahim, Azmin Ali, seorang yang sudah masak dengan politik parti dan telah lama merasa pahit getir di dalam perjuangan PKR. Zaid Ibrahim sekarang boleh diibarat kan sebagai "from hero to zero".
Posting-posting di dalam blog Zaid Ibrahim,
Zaid Untuk Rakyat mula menampakkan sikap memberontak yang ada di dalam dirinya. Di dalam posting yang terbaru bertajuk "
Siapakah 'Musuh Parti' Dalam PKR", beliau menulis,
Saya tidak perlu dibiayai oleh Soh Chee Wen ataupun orang lain. Lagipun jawatan Timbalan itu sebenarnya tidak ada kuasa. Nombor Dua dalam politik Malaysia ini hanya untuk glamour dan nama saja, tidak ada lah banyak kuasa sangat. Apa lagi dalam Keadilan, Nombor Satu pun tak ada kuasa seperti Ketua Umum, jawatan yang tidak boleh ditandingi. Jadi, saya tidak faham riuh-rendah pasal jawatan Nombor Dua ini.
Pada pandangan penulis, ini yang cuba disampaikan oleh Zaid Ibrahim melalui tulisannya di atas:
1. Jawatan Timbalan Presiden PKR yang sekarang disandang oleh Syed Hussin Ali hanyalah boneka semata-mata dan tidak boleh membuat keputusan penting di dalam parti. Azmin Ali bertanding untuk jawatan tersebut hanya sebagai batu loncatan bagi membolehkan beliau diangkat menjadi Presiden sekiranya Anwar Ibrahim didapati bersalah kerana meliwat dan dipenjarakan manakala Wan Azizah sudah tidak berminat di dalam teraju kepimpinan PKR.
2. Wan Azizah hanyalah sebai boneka atau ikon yang digunakan oleh ahli-ahli parti di atas kapasitinya sebagai isteri DS Anwar. Perlu diingatkan, PKR diwujudkan untuk Anwar Ibrahim dan prinsip dan arah tuju perjuangannya tidak pernah berubah. Wan Azizah tidak pernah "wujud" di dalam setiap keputusan penting yang dibuat di dalam parti. Semuanya dilakukan oleh pemilik parti PKR, Anwar Ibrahim.
3. Mana ada satu parti di dalam dunia ini yang mana Ketua Umumnya yang tidak berparti mempunyai kuasa yang lebih tinggi dari Presiden? Saya difahamkan oleh sumber dalaman PKR, Anwar Ibrahim tidak boleh bertanding di dalam mana-mana posisi memandangkan beliau bukan ahli parti. Bagi saya buat apa jadi ahli parti dan bertanding di dalam mana-mana jawatan sedangkan jawatan Ketua Umum PKR yang tidak boleh ditandingi dan tiada di dalam perlembagaan parti mempunyai kuasa mutlak yang tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapapun.
PKR sering menyalahkan UMNO yang tidak demokratik di dalam pemilihan parti. Adakah PKR mengamalkan prinsip-prinsip demokrasi yang mereka dendangkan di dalam ceramah-ceramah mereka? Bagaimana pula nasib Zaid Ibrahim selepas ini yang bakal disingkirkan dan disisihkan oleh pimpinan PKR sekiranya beliau kalah dalam pemilihan Timbalan Presiden. Apakah beliau akan menyertai parti PAS sebagai wadah perjuangan berikutnya. Hanya masa yang akan menentukannya.