June 20, 2010

2 UPSR Tidak Perlu Dimansuhkan

Saya tertarik dengan kenyataan Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai cadangan kerajaan hendak memansuhkan UPSR dan PMR. Ini katanya berikutan cadangan kononnya bagi membolehkan pelajar-pelajar aktif dalam kokurikulum dan sukan serta tidak lagi beroreantasikan peperiksaan.

Saya juga tertarik dengan sikap diplomatik Tan Sri ketika memberitahu mengenai cadangan di atas di dalam satu sidang media. Katanya, perkara ini masih di peringkat kajian dan beliau memerlukan pandangan serta buah fikiran dari segenap lapisan masyarakat. Tidakkah caranya itu bijak? Tidak seperti tindakan bodoh dan baghal Menteri-Menteri sebelum ini ketika mengumumkan cadangan untuk memberikan kuota 40% tanah Kampung Baru kepada bukan bumiputera, mengenai cadangan kabinet untuk meluluskan pemberian judi bola sepak serta pembinaan parlimen baru di Putrajaya.

Dari satu sudut sememangnya kita akan mendapati pelajar-pelajar kita sentiasa beroreantasikan pembelajaran untuk mencapai kejayaan cemerlang di dalam peperiksaan serta mengabaikan tanggungjawab sosial yang lain. Namun kita kena lihat dari sudut yang lebih jauh. Adakah dengan pemansuhan peperiksaan seperti UPSR dan PMR, pelajar-pelajar kita akan lebih aktif di dalam kokurikulum atau mereka akan sekadar menjadi lebih malas belajar. Fikir sebegini, "untuk apakah aku belajar bersungguh-sungguh sekiranya tidak ada apa yang hendak aku capai.Tunggulah dekat SPM esok, barulah belajar bersungguh-sungguh." Jika ini yang difikirkan di benak pemikiran seseorang pelajar, taraf pendidikan kita akan menurun sikit masa lagi.

Saya kurang bersetuju mengenai pemansuhan peperiksaan UPSR. Bagi saya UPSR adalah peperiksaan yang bakal menentukan pelajar-pelajar yang bijak serta berkebolehan yang dapat diberi peluang melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah yang terkenal status dan kedudukannya serta membezakan antara pelajar yang layak atau tidak untuk belajar di sekolah berasrama penuh bantuan kerajaan.

Mungkin kita boleh berbincang dengan lebih lanjut mengenai pemansuhan peperiksaan PMR. Ini adalah kerana peperiksaan ini hanya menekankan mengenai jurusan yang perlu dikhususkan atau diberi penekanan semasa pelajar berada di Tingkatan 4 dan 5. Mungkin satu penilaian baru bagi mengantikan peperiksaan PMR perlu dikaji. Contohnya, minat seseorang pelajar harus juga diberi perhatian sewaktu mengambil kira jurusan yang harus mereka ambil di Tingkatan 4 dan dalam proses untuk menduduki SPM.

Saya merupakan seseorang dari aliran yang berpendapat peperiksaan adalah penting dalam menentukan taraf kefahaman, pendidikan dan pembelajaran seseorang pelajar. Kita tidak mahu sistem peperiksaan dimansuhkan sehingga tiada satu mekanisma untuk menentukan taraf kecerdikan seseorang pelajar. Akhirnya, sistem pilih kasih, "know who and know how" dan kroni akan mengambil tempat dalam menentukan pencapaian seseorang pelajar. Saya akhiri tulisan ini dengan analogi yang mudah. Kalau sesuatu peperiksaan itu tidak penting bagi seseorang pelajar, hapuskan peperiksaan bagi setiap subjek dan peperiksaan semester bagi pelajar universiti. Bukankah elok memastikan mereka aktif di dalam sukan dan ko kurikulum yang lain. Kalau adapun peperiksaan, adakan selepas mereka belajar 3 atau 4 tahun sebelum mereka keluar dari universiti. Bolehkah begitu?

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

 

Cucu Tok Selampit Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates