June 11, 2010

2 Jujurkah Kita Membenci Zionist Israel?


Di saat kita laungan teriakan benci Israel
Di badan kita tersalut pakaian Timberland, Boss, Mark & Spenser, Calvin Klien dan Ralph Lauren

Di saat kita mencemik muka marahkan kekejaman Israel
Di muka kita tersalut alat solek Lancome, Garnier, Clinique dan Lóreal

Di saat kita mengutuk Israel di talian telekomunikasi
Di tangan kita megah dengah teknologi Nokia yang terkini

Di saat kita membakar bendera zionist dan membakar patung Netanyahu
Kita akan melepaskan haus di tekak di Starbuck dan McDonalds

Di saat Kerajaan dan seluruh Ahli Parlimen mengutuk penahanan kapal Rachel Corrie dan Mavi Marmara
Kerajaan Malaysia membenarkan kapal Zionist Israel memasuki Pelabuhan Klang

Munafikkah kita?
Bersandiwarakah kita?
Atau sekadar membuat jenaka semasa?

June 9, 2010

8 Perlukah Parlimen Baru Dibina Di Putrajaya?

Di dalam usaha Kerajaan rancak membincangkan untuk mengenakan Cukai Makanan dan Perkhidmatan (GST) ke atas Rakyat dan perancangan untuk mengurangkan dan menghapuskan subsidi kepada Rakyat secara beransur-ansur, hari ini kita diwar-warkan pula dengan cadangan untuk membina sebuah parlimen yang baru di Putrajaya. Utusan Malaysia mempunyai butiran seperti berikut:

KUALA LUMPUR 9 Jun - Kabinet telah memutuskan bahawa bangunan Parlimen baru akan dibina di Putrajaya, manakala bangunan sedia ada di Kuala Lumpur akan dijadikan bangunan warisan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Nazri Abdul Aziz dalam jawapan bertulis kepada soalan Sim Tong Him (DAP-Kota Melaka) berkata, perkara itu telah diputuskan oleh Kabinet baru-baru ini. - Utusan

Saya tidak membangkang dan bukan anti pembangunan. Saya amat faham bahawa Parlimen di Putrajaya adalah sebahagian daripada pelan induk (masterplan) pembangunan di Putrajaya. Cuma, masa dan ketika tidak kena bagi perlaksanaannya. Di saat Kerajaan mewar-warkan akan mengenakan GST kepada rakyat dan di saat seorang Menteri Cabul Mulut yang mengatakan bahawa hutang kerajaan berbukit dan Negara pasti akan bangkrap menjelang 2019 sekiranya subsidi petrol, elektrik dan barangan makanan kepada Rakyat tidak dihapuskan atau dikurangkan, untuk apa pembangunan Parlimen di Putrajaya diadakan buat masa ini. Apakah nilai subsidi yang berjumlah RM74 billion pada tahun 2009 adalah terlalu besar berbanding dengan jumlah pembinaan Parlimen baru yang akan dibina di Putrajaya. Bolehkah Rakyat Marhaen seperti saya bertanya berapakah jumlah bajet perbelanjaan untuk membina Parlimen baru itu?

Adakah ini bermakna Kerajaan mempunyai lebihan wang yang boleh dibelanjakan sesuka hati? Kalau banyak sangat wang yang hendak dibelanjakan, bukankah lebih baik wang berkenaan digunakan untuk membayar hutang Kerajaan. Teruk dan daif sangatkah keadaan Parlimen yang ada sekarang sehingga menjadi satu keutamaan untuk membina infrastruktur yang baru? Perlu sangatkah sebuah bangunan Parlimen yang baru dibina buat masa ini untuk kegunaan beratus orang Ahli Parlimen berbanding dengan jumlah yang sama digunakan untuk faedah jutaan Rakyat Marhaen yang miskin dan kurang berkemampuan? Apakah negara begitu memerlukan Parlimen baru untuk memaju ekonomi dan pembangunan menuju ke arah negara maju berkapasiti tinggi menjelang tahun 2020 atau ianya akan berakhir sebagai Projek Gajah Putih?
 

Cucu Tok Selampit Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates