May 28, 2010

25 Lagi Satu Menteri Kerajaan DS Najib Buat Kenyataan Bangang

Di saat Kerajaan DS Najib diserang bertalu-talu dengan tindakan seorang Menteri Bijak Pandai Kerajaan Barisan mengusulkan untuk meluluskan lesen perjudian bola sepak piala dunia yang telah diluluskan oleh kabinet, semalam pula, seorang lagi Menteri Kerajaan DS Najib mengeluarkan kenyataan yang bangang.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, DS Idris Jala, yang juga CEO "Performance Management And Delivery Unit" (PEMANDU - apakah natang jawatan ini?) telah memberi ceramah di KLCC mengusulkan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara yang paling tinggi menerima subsidi di dunia harus mengurangkan pengantungan subsidi kepada Rakyatnya terutama untuk minyak, elektrik dan toll (yang merupakan keperluan asas) untuk menjimatkan defisit dan hutang Kerajaan sebanyak RM103 billion selama 5 tahun.

Siapa ini Idris Jala? Bekas CEO MAS yang telah dilantik terus menjadi Menteri Penuh Kerajaan DS Najib tanpa perlu menjadi wakil Rakyat. Apa jasanya? Kata orang, dia telah berjaya memulihkan kewangan syarikat penerbangan utama negara dari mengalami kerugian sehinggakan mencatat keuntungan. Keuntungan? Pergi dah! Yang rakyat tidak tahu, keuntungan yang diperolehi oleh MAS sepanjang pengendaliannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif hanyalah disebabkan penjualan aset-aset di dalam MAS dan bukannya keuntungan operasi. Kalau setakat hendak jual bangunan-bangunan MAS dan mencatatkan keuntungan sehinggakan membolehkan beliau dilantik sebagai seorang Menteri, saya rasa ada sesuatu yang tidak kena dengan orang yang melantiknya. Elok sangatlah beliau dilantik menjadi CEO Pemandu, lingkup Malaysia.

Semalam, orang yang sama bercakap pula mengenai Malaysia berkemungkinan besar akan menjadi bangkrap menjelang 2019 disebabkan hutangnya berjumlah RM1.158 trillion. Sekiranya hutang-hutang ini hendak dipersalahkan ke atas subsidi-subsidi yang diberikan oleh rakyat seperti subsidi minyak minyak, gas, toll, gula, minyak masak dan sebagainya, saya rasa itu merupakan suatu tindakan yang bangang. Sejak bilakah subsidi-subsidi ini diwujudkan? Pada zaman DS Najibkah? Tidak! Ia wujud sejak zaman beberapa zaman Perdana Menteri sebelum ini. Kenapakah Kerajaan BN di bawah pimpinan Mantan-Mantan Perdana Menteri sebelum ini (kecuali Tun Abdullah) tidak pernah bersunggut mengenai pemberian subsidi kepada Rakyat? Kenapa baru sekarang hendak dikurangkan atau dihapuskan subsidi yang diberikan kepada Rakyat?

Inikah slogan yang dilaung-laungkan. 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Cakap berdegar-degar tetapi tidak lebih sebagai mitos semata-mata. Betulkah Kerajaan sudah tidak mampu lagi menanggung subsidi disebabkan oleh kekurangan sumber alam negara atau disebabkan oleh ketirisan dan ketidakcekapan di dalam pentadbiran Kerajaan DS Najib? Betulkah angka RM103 billion defisit dan hutang disebabkan oleh tanggungan subsidi Rakyat atau adakah ini satu helah untuk menipu Rakyat Marhaen supaya tidak memberontak apabila subsidi dihapuskan? Saya setuju kita tidak patut menjadi Rakyat Subsidi, tetapi adakah Kerajaan pasti semua Rakyat "bermain di padang yang sama"?

Tahniah DS Najib. Usaha dan tingkah laku menteri-menteri Datuk Seri akan memendekkan karier politik anda. Saya tidak mahu bercakap lebih lanjut tetapi saya berani bertaruh (judi sudah dilesenkan kan) Kerajaan DS Najib bakal kehilangan lebih banyak negeri di dalam PRU13 sekirannya idea bodoh DS Idris Jala untuk mengurangkan dan menghapuskan subsidi kepada Rakyat diteruskan. "I bet my life!". Bagi saya, biarlah saya memberi peluang kepada satu pihak yang lagi satu kalau Kerajaan DS Najib sudah tidak berupaya mentadbir soal kewangan Negara. Tak gitu?

May 26, 2010

10 Siapa Kata S Vell Paari Seorang Yang Biadap?

S Vell Paari, satu nama yang kurang dikenali ramai sehinggalah beliau dikaitkan dengan kematian kontroversi pembantu peribadinya, K Sujatha, 28 tahun, bekas heroin filem Tamil dan telah membunuh diri dengan meminum racun rumput pada 25 Jun 2007. Beberapa hari lepas nama beliau kembali disebut-sebut apabila anak Presiden MIC, Datuk Seri S Semi Value, mengatakan kononnya UMNO menjadi punca masalah kepada masalah di dalam MIC. Tuduhan S Vell Paari ini dibuat menerusi sebuah laman web "Free Malaysia Today".

Beliau yang berusia 47 tahun ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Maika Holdings Berhad yang pernah mengakui bahawa beliau amat rapat dengan pembantu peribadinya, K Sujatha tetapi tidak pernah melakukan hubungan seks. Saya kurang bersetuju apabila orang mengatakan beliau seorang yang biadap apabila membuat kenyataan UMNO adalah dalang di sebalik pembabitan Gerakan Anti Samy Vellu (GAS), yang telah mendesak Presiden MIC terlama di dalam sejarah itu untuk mengundur diri.

S Vell Paari yang saya tahu merupakan seorang yang amat pemurah yang pernah saya dengar. Kenapakah saya berkata demikian? Lihatlah fakta-fakta betapa pemurahnya beliau dengan pekerja beliau (K Sujatha yang merupakan pembantu peribadi beliau):

1. Mendiang Sujatha sering kali melawat rumah Vell Paari dan mereka telah dilihat sentiasa keluar makan malam bersama.

2. Vell Paari telah menemani mendiang Sujatha sebanyak dua kali ke India untuk membolehkan beliau mendapatkan rawatan.

3. Vell Pari telah membiayai pembelajaran mendiang Sujatha di peringkat Diploma dan juga Sarjana di dalam perniagaan.

4. Vell Paari juga membiayai pembelajaran adik-adik mendiang Sujatha di Australia.

5. Vell Paari telah membayar RM220,000 tunai ke atas pembelian satu unit kondominium di mana mendiang Sujatha telah tinggal.

6. Vell Paari telah menjadi penjamin ke atas pinjaman bank yang dipohon oleh mendiang Sujatha sebanyak RM200,000.

7. Vell Paari juga telah menjadi penjamin kemudahan kredit pembelian Mazda RX8 oleh mendiang Sujatha.

Bukankah Vell Paari merupakan seorang warga Malaysia yang pemurah? Mana ada majikan yang sanggup memberikan segala bentuk perhatian dan kemudahan kepada pembantu peribadinya? Opps ... maaf, kenyataan saya ini tidaklah termasuk hubungan majikan - pekerja di antara DS Anwar Ibrahim dan Mohd Saiful Bukhari Azlan. Jadi mana timbulnya Vell Paari seorang yang biadap seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri? Itu saya rasalah. hahaha.

May 24, 2010

14 Apa Lagi Malaysia Hendak Berikan Kepada Negara Asing?

Monolog I:

23 May 2008, Malaysia kehilangan hak pemilikan ke atas Pulau Batu Putih atau dikenali sebagai Pedra Branca apabila Mahkamah Kehakiman Antarabangsa (ICJ) memutuskan Pulau Batu Puteh dan perairan sekitarnya sah kepunyaan Singapura. Walaupun pulau berkenaan tidak lebih dari sebesar separuh padang bola namun hak milik kita sudah di rampas orang. Kita tidak tahu di mana salah dan silapnya. Bagaimana kita boleh kalah di dalam kes di mana pulau berkenaan hanya terletak 14.3 km daripada Tanjung Penyusop di Johor sebaliknya sejauh 46.3 km dari Singapura. Menangis air mata darah sekalipun tidak boleh mengembalikan hak dan kedaulatan Pulau Batu Putih.

Monolog II:

11 February 2009, Malaysia sekali lagi merendahkan maruah dan harga diri apabila kabinet memutuskan untuk menyerahkan dua blok minyak, Blok L dan M yang suatu waktu dahulu kepunyaan Petronas, hak milik penuh Kerajaan Malaysia kepada kerajaan Brunei. Rakyat tidak mengetahui langsung mengenai perjanjian yang ditandatangani dengan Kerajaan Brunei pada 16 Mac 2009 oleh Kerajaan Tun Abdullah Ahmad Badawi, sehinggalah perjanjian ini didedahkan oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir.

Siapa yang sebenarnya yang menjadi dalang pengkianat di dalam isu blok minyak ni? Tun Abdullah atau Tun Dr Mahathir? Siapa yang sebenarnya mendapatkan "Joint-Exploration Arrangement (JAE)" di antara Malaysia dan Brunei dalam isu Blok M dan Blok L itu pada tahun 2003? Kenapa pula Tun Abdullah memulangkan semula Blok M dan Blok L yang sudah pun dipersetujui oleh Malaysia dan Brunei dalam JEA pada tahun 2003? Persoalan-persoalan ini masih tidak terjawab sehingga kini.

Monolog III:

Apa lagi yang boleh diberikan Malaysia, akan berikan. Ya, Malaysia memang sebuah negara yang berbudi bahasa. Hak sendiripun hendak "digadaikan" kepada negara asing. Terbaru, 24 Mei 2010, Kerajaan Malaysia dengan bermurah hati telah menyerahkan hakmilik dan maruah negara kepada negara jiran, Singapura. Hari ini, Perdana Menteri, DS Najib Tun Razak telah menyerahkan kedaulatan dan hakmilik tanah yang dimiliki oleh Keretapi Tanah Melayu yang dimiliki oleh Kerajaan Malaysia di Tanjung Pagar kepada Singapura.

Gula-gula apakah yang diberikan oleh Kerajaan Singapura sebagai ganjaran menyerahkan tanah landasan keretapi yang telah direbutkan lebih dari dua dekad ini? Kenapakah penyerahan bersejarah ini tidak mendapat liputan besar-besaran di akhbar-akhbar tempatan? Apakah kehilangan harta negara ini tidak mendapat tempat di Malaysia, sedangkan akhbar The Straits Times Singapura menyiarkan sebagai berita utama dan pemimpin serta rakyat Singapura telah berpesta dengan kemenangan ini.

Walaupun kedua-dua Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan rakan jirannya DS Najib Razak telah mengumumkan bahawa tanah yang "dirampas" oleh Singapura di Tanjong Pagar, Kranji, Woodlands dan tiga di Bukit Timah akan digantikan dengan tanah yang sama nilainya di Marina South dan sekitar Ophir-Rochor, bolehkah rakyat Malaysia percaya dengan Kerajaan yang "baik hati" yang telah menyerahkan hak milik negara kepada kuasa luar. Sejarah telah membuktikannya dan tidak mustahil ianya akan berulang dan berulang.
 

Cucu Tok Selampit Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates