April 7, 2010

9 Apakah Slogan 1Malaysia Akan Dipraktikkan Di Hulu Selangor Atau Sekadar Retorik Semata-Mata

Kemaskini:

Teka teki sudah tejawab. Persoalan parti mana dari komponen BN yang akan bertanding dalam pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor terjawab sebentar tadi apabila PM berkata ia akan ditandingi oleh calon dari MIC.

"Kerusi (parlimen) Hulu Selangor akan ditandingi oleh seorang calon dari MIC, kerana itu kerusi MIC. Biar calon ditentukan oleh pengerusi BN (Najib) sebab saya nak kita menang" kata Datuk Seri Najib Razak kepada pemberita di Konvensyen UMNO Selangor di Shah Alam.

Apa yang penulis boleh kongsikan adalah menurut sumber yang sahih, calon MIC berkenaan bukan Palanieval, bahkan seorang tokoh penganalisa politik dan penceramah yang amat terkenal, fasih berbahasa Melayu dan merupakan anak tempatan Hulu Selangor. BN pasti akan merampas kembali kerusi P094 Hulu Selangor.

Posting Asal:

Apabila penulis menyarankan agar Barisan Nasional memberi laluan dan menyokong penuh calon MIC untuk bertanding di P094 Hulu Selangor, ramai kawan dan lawan yang menghantar e-mail sinis melabelkan penulis adalah anti Melayu. Malah rakan-rakan bloggers meminggirkan diri dan memulaukan penulis kerana berbeza pendapat di dalam hal ini.

Kepada mereka yang merasakan mereka adalah pejuang Melayu tulen, kaji dan bukalah minda untuk fakta-fakta di bawah. Adakah UMNO merasa besar kepala dengan peratusan Melayu sebanyak 53.94% di Parlimen Hulu Selangor sehingga memperkecil-kecilkan calon dari parti komponen lain? Apakah dengan sikap keras kepala dan bongkak mereka itu tidak memungkinkan pengundi dari kaum lain memangkah parti kerajaan (ingat Pakatan Haram adalah kerajaan di Selangor, UMNO adalah pembangkang). Apakah sokongan pengundi Melayu sebanyak 53.94% akan memberikan sokongan jitu kepada calon UMNO sekiranya terpilih? Tak adakah penyokong fanatik parti PAS dan PKR di kalangan pengundi Melayu Parlimen Hulu Selangor?

Apakah UMNO sudah merasa kuat dan gagah dengan keadaan politik sekarang yang menampakkan sokongan pengundi-pengundi Melayu kembali kepada UMNO. Apakah UMNO boleh mendabik dada, menyatakan kami boleh mengharungi PRU13 tanpa bantuan parti-parti komponen yang lain. Mari kita lihat dalam skop yang lebih luas. Berapa banyakkah kerusi UMNO di dalam Dewan Rakyat? Cukupkah untuk membentuk Kerajaan Pusat tanpa bantuan kaum-kaum lain yang terdiri dari bermacam suku kaum dan etnik baik India, Cina, Singh, Iban, Kadazan, Murut, Bidayuh dan sebagainya?

Berapa banyakkah kerusi UMNO di Sarawak di dalam menghadapi pilihanraya negeri yang akan datang. KOSONG!! Jadi apa yang hendak besar kepala sangat? Bangsa apakah yang terbesar di Sarawak? Melayukah atau Kadazan dan Iban? Apakah UMNO tidak merasakan dengan memperkecil-kecilkan sesuatu kaum dan parti komponen di dalam BN, mereka juga tidak menguris perasaan kaum-kaum lain dan parti-parti komponen lain? Apakah komponen-komponen di dalam BN hanya MIC dan MCA sahaja? Bagaimana dengan Gerakan, PPP, PBS, SUPP, SAPP, LDP, PBRS, UPKO, SPDP dan PRS. Apakah parti-parti ini juga tidak ada nilainya di dalam Barisan Nasional?

Kita selama ini melaung-laungkan 1Malaysia. Adakah kita sekadar melaungkan di bibir? Adakah kita hanya sekadar menyedapkan hati pemimpin kerana tugas kita menjadi Pak Angguk dan pencium bontot pemimpin untuk kepentingan periuk nasi kita? Apakah kita benar-benar menghormati kaum lain dan menjunjung tinggi bangsa Melayu selaras dengan peruntukan perlembagaan di dalam menjunjung 1Malaysia? Apakah erti kemenangan satu kerusi sekiranya prinsip ikatan persefahaman antara kaum yang terbina semenjak tahun 1957 terkubur. Apakah di dalam PRK Hulu Selangor kita akan melaungkan hidup UMNO kerana kita kuat dan gagah dan selepas itu bersalin kulit seperti ular menjadi pejuang semua kaum 1Malaysia di dalam PRU13?

Fikir biarlah menggunakan akal dan iman dan bukannya menggunakan kepala lutut yang mengikut perasaan. Fikir-fikirkanlah.

April 5, 2010

10 UMNO Jangan Tamak Di Kerusi Parlimen Hulu Selangor

DS Najib sudahpun membuat keputusannya tentang siapa yang bakal dicalonkan untuk kerusi panas P94, Parlimen Hulu Selangor, dan keputusan berkenaan bakal diumumkan oleh Timbalannya 15 April depan. Ahli-ahli Barisan Nasional khususnya ahli-ahli UMNO hendaklah berhenti dari membuat kenyataan-kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan.

Saya tidak nampak kenapakah kerusi Hulu Selangor ini menjadi isu di kalangan parti-parti BN. Kerusi ini telah dikuotakan kepada MIC. Pendapat saya biarlah calon MIC yang bertanding. Perlu diingat, pertarungan pilihanraya ini bukanlah setakat berakhir di Hulu Selangor. Parti-parti BN mempunyai tugas yang lebih besar untuk merampas Selangor di dalam Pilihanraya Umum yang akan datang. Saya merasakan parti-parti BN khususnya UMNO seharusnya berkompromi dan bukannya mengkecil-kecilkan parti-parti komponen yang lain.

Saya akui dan saya yakin sekiranya UMNO meletakkan calonnya, Insyaallah BN akan mencapai majoriti yang besar di dalam PRK Parlimen Hulu Selangor. Adakah kita akan berpuas hati sekiranya kita memenangi kerusi berkenaan sedangkan kita telah mengingkari prinsip dan "spirit" BN? Adakah UMNO secara individu boleh merampas kembali Selangor tanpa undi rakyat bukan Melayu di Selangor. Saya pasti tidak. Kalau setakat UMNO mengharapkan undi Melayu di Selangor, kirim salam. Walaupun tsunami politik menampakkan sokongan kepada UMNO di Selangor, UMNO Selangor tidak boleh bongkak dan takbur.

Masyarakat Melayu di Selangor berpecah kepada empat iaitu Melayu UMNO, Melayu PAS, Melayu PKR dan Melayu atas pagar. UMNO dan BN memerlukan undi bukan Melayu untuk merampas Selangor. Biarlah DS Najib dan timbalannya, TS Muhyiddin membuat keputusan besar ini dan kita harus menghormatinya. Jangan ada dendam, dengki dan iri hati, jangan ada "chah keting" sesama kita walau siapa pun calon yang dikemukakan oleh parti. Jangan mengusutkan keadaan dan memberikan bebanan yang tidak sepatunya kepada parti. Ingat, kita memerlukan sokongan kesemua parti komponen dan sokongan rakyat semua kaum dan agama untuk merampas Selangor di dalam PRU13. Jangan jadi Lebai Malang. Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Keputusan PRU12:

P94 HULU SELANGOR

Jumlah Pengundi: 63,593
Peratusan Kaum: M:53.94% C: 26.67% I: 18.98% L:0.41%
1. Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad
(PKR) (23,177)
2. Datuk G. Palanivel (BN) (22,979)
Majoriti: 198
Jumlah undi: 47,622
Peratus mengundi: 74.89%
Undi rosak: 1,46

N5 - Hulu Bernam

Jumlah Pengundi: 17,549
Peratusan Kaum: M:67.7% C...: 17.2% I: 14.8% L: 0.3%
1. Datuk Mohamed Idris Abu Bakar
(BN) (7,985)
2. Sukor Ali (Pas) (4,436)
Majoriti: 3,549
Jumlah undi: 12,739
Peratus mengundi: 72.59%
Undi rosak: 318

N7 - Batang Kali

Jumlah Pengundi: 27,832
Peratusan Kaum: M: 59.4% C: 20.3% I: 19.9% L: 0.3%
1. Mohd. Isa Abu Kasim (BN) (11,724)
2. Mohd. Nashruddin Abd. Aziz (PKR) (9,545)
Majoriti: 2,179
Jumlah undi: 21,673
Peratus mengundi: 77.87%
Undi rosak: 404

N6 - Kuala Kubu Bharu

Jumlah Pengundi: 18,212
Peratusan Kaum: M: 32.3% C: 45.5% I: 21.5% L: 0.7%
1. Wong Koon Mun (BN) (6,555)
2. K. A. Ramu (DAP) (6,107)
Majoriti: 448
Jumlah undi: 13,211
Peratus mengundi: 72.54%
Undi rosak: 549

 

Cucu Tok Selampit Copyright © 2011 - |- Template created by O Pregador - |- Powered by Blogger Templates