Saya berkesempatan berbual dengan rakan sekampus penulis semasa menuntut di sebuah IPTA di utara tanah air di coffee house tempat saya menginap pagi ini. Beliau yang merupakan penyokong PAS tegar semenjak dari kampus lagi sekarang memegang antara jawatan tertinggi di dalam kepimpinan PAS negeri. Perbincangan kami bertitk tolak dari persoalan Seminar yang diadakan hari ini sehinggalah kepada isu wala' dan baiah di dalam PAS.Menurut rakan penulis, beliau kesal dengan wala' atau ketaatan membuta tuli di kalangan pengikut-pengikut PAS. Ketaatan atau wala' yang membuta tuli telah menyebabkan PAS, berpecah belah dan menjadi puak-puak. Katanya, PAS hanya akan maju sekiranya amalan mengkritik dan memberi idea ini disuburkan. PAS hanya akan diberikan kemenangan gemilang dalam situasi politik semasa sekiranya amalan wala’ yang sebenar mengikut acuan Islam dibenarkan bercambah dan membiak dalam PAS. Hakikatnya, amalan ketaatan atau wala’ dalam PAS adalah manifestasi dari pengaruh Hindu dalam masyarakat Melayu berbanding dengan pengaruh Islam itu sendiri. Ini dapat dilihat daripada adanya pimpinan-pimpinan PAS yang tiada pendapatan tetap tetapi boleh membeli rumah banglo, kereta mewah serta ada pengawal yang bersepah. Namun, ahli-ahli PAS tidak langsung mahu mempersoalkan perkara itu.
Berbalik kepada soal Baiah pula, beliau tidak menafikan bahawa di dalam baiah atau sumpah taat setia PAS, talak tiga akan jatuh ke atas isteri mana-mana pemimpin PAS yang mengkianati parti itu seperti melompat parti. Baiah di dalam PAS, katanya merupakan akuan bersumpah di hadapan Allah s.w.t dan kepimpinan dalam parti ketika dilantik menjadi calon dalam setiap pilihan raya sama ada umum atau kecil. PAS katanya nyata mempunyai rahsia tersendiri untuk menyekat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada mengambil sikap melompat parti. Beliau juga turut mengiayakan laporan yang terdapat di dalam akhbar Utusan Malaysia.
Berdesing telinga saya apabila mendengar soal baiah di dalam PAS. Saya bertanyakan kepadanya, adakah anda sanggup menurunkan tandatangan kerana politik dan kerana hendak bergelar Yang Berhormat. Saya berkata kepadanya, sekiranya saya mempunyai isteri, tidak mungkin sama sekali, saya sanggup untuk menurunkan tandatangan untuk menceraikan isteri saya dengan talak tiga sekiranya saya melompat parti. Bagi saya ahli-ahli yang berhormat PAS adalah dayus sama sekali kerana mempertaruhkan isteri masing-masing demi politik.
Nasib baik tidak ada perjanjian supaya memperdagangkan isteri masing-masing kalau keluar parti. Apalah hendak jadi dengan parti yang mengelarkan parti Islam ini. Isteripun jadi bahan mainan di dalam soal berpolitik. Di mana suara muslimah-muslimah PAS di atas kezaliman ke atas wanita ini? Di mana suara Sisters In Islam yang kononnya memperjuangkan nasib kaum hawa. Sememangnya PAS menjadi semakin gila apabila mewujudkan slogan "PAS For All". Seharusnya PAS kembali kepada "PAS For Allah".







